KETIKA ada pihak tertentu mendesak kerajaan menutup pusat pengajian tahfiz, namun sebaliknya di Kelantan dua lagi tahfiz baharu akan ditubuh tahun hadapan.
Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, pada tahun 2018 kerajaan negeri akan mewujudkan dua lagi pusat pengajian tahfiz.
Katanya, pusat tahfiz berkenaan akan ditempatkan di Beta Hulu, Salor untuk pelajar lelaki.
“Manakala untuk pelajar perempuan akan diadakan di Tualang Tinggi, Pasir Puteh,” katanya ketika merasmikan Hari Yayasan Islam Kelantan (Yik) 2017.
di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa semalam.
Hadir sama Pegawai Kewangan Kelantan, Datuk Nik Kazim Nik Yusof, Penasihat Undang-Undang, Datuk Shahidani Abdul Aziz, anggota Exco, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dan mufti Kelantan, Datuk Mohd Shukri Mohamed.
Turut hadir anggota-anggota Exco, Pengarah Yik, Tengku Abdul Rahman Tuan Yunus, wakil-wakil rakyat dan pengetua sekolah.
Hampir 2,000 kakitangan Yik hadir pada majlis tahunan itu.
Ustaz Ahmad berkata, pusat tahfiz perlu ditambah bagi memenuhi permintaan masyarakat di negeri itu.
Baru-baru ini ada pihak mahu pusat tahfiz yang tidak mematuhi aspek keselamatan ditutup segera ekoran kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur.
Kejadian menyayat hati itu dikatakan angkara khianat mengorbankan 21 pelajar dan dua guru.