Home Berita PAS Kelantan

DTI medium pemimpin, profesional dalami ilmu agama

96
SHARE

KOTA BHARU, 3 Ogos: Kerajaan Negeri Kelantan komited memastikan golongan pemimpin, profesional dan penjawat awam di negeri ini mendalami ilmu agama selain mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Oleh itu program Diploma Tassawur Islam (DTI) diperkenalkan Institut Latihan Kepemimpinan & Perkaderan Islamiyah (ILHAM) dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Menurut Ketua ILHAM cawangan Kelantan, Wan Abdul Halim Wan Ismail, program ilmiah tersebut bertujuan menjadikan barisan pemimpin di Kelantan dilengkapi satu skim pengetahuan Islam dalam beberapa bidang.

“DTI adalah program pengajian formal yang merangkumi dua semester. Pada semester pertama (Januari hingga Jun), pelajar didedahkan dengan empat mata pelajaran iaitu Pengantar Pengajian al-Quran, Akidah Islamiah, Pengantar Fekah Islam dan Pengantar Politik Islam.

Manakala pada semester kedua (Julai hingga Disember) pula, pelajar perlu mempelajari empat mata pelajaran iaitu Pengantar Pengajian Hadis, Akhlak Islamiah, Tasawur Pendidikan Islam dan Eonomi Islam. Tempoh pengajian adalah selama setahun dan boleh dilanjutkan sehingga dua tahun dan tempoh pengajian tertakluk kepada perubahan semasa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selaku Ketua ILHAM Cawangan Kelantan, beliau juga berharap selain mempunyai graduan yang terdiri daripada kalangan profesional dan pengurusan, diharap setiap pemimpin kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mempunyai alumni DTI ILHAM supaya ilmu agama dapat disebar luas dan disampaikan kepada masyarakat.

Tambahnya, majlis keraian 39 graduan DTI 2022, ILHAM cawangan Kelantan telah disempurnakan oleh Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru Bentara Setia (IPTG), YB Dato’ Dr Johari Mat yang diadakan pada 16 Julai lalu di Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Tunjong.

Berucap dalam majlis tersebut, Dato’ Dr Johari berkata pentingnya setiap pemimpin mendalami pengetahuan Islam yang sebenar secara lebih tersusun daripada para ilmuan Islam yang mahir dalam bidang kepakaran mereka.

“Graduan juga disarankan terus meneroka ilmu Islam serta menyebarkan ilmu yang diperolehi kepada masyarakat awam di kawasan masing-masing,” katanya.

Sebagai rekod, graduan terbabit menerima sijil masing-masing dalam acara gilang gemilang di Majlis Konvokesyen ILHAM kali ke-14 yang diadakan 26 Mac 2022 di Kuala Lumpur.