Home Artikel PAS Melaka

DMPNM Kunjung Hormat Exco Wanita, Pembangunan Keluarga Dan Kebajikan Melaka

496
SHARE

Oleh : Ummu Husna

HANG TUAH JAYA : Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka (DMPNM) telah membuat kunjungan hormat terhadap Pengerusi Jawatankuasa Negeri Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Melaka, YB Datuk Latipah Omar di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini kelmarin.

Kunjungan hormat ini dibuat bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim antara PAS dan UMNO di dalam kerajaan Perikatan Nasional Melaka. Pertemuan tersebut telah disambut baik oleh YB Datuk Latipah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Taboh Naning.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Hajah Aziah Md Saad dalam alu-aluannya mengucapkan tahniah kepada exco wanita tunggal Melaka itu di atas pelantikannya di dalam kabinet Negeri Melaka.

“Kita berharap Muslimat PAS turut dapat bersama menyumbang idea dan tenaga dalam memperkasa hal ehwal wanita dan keluarga.” ujar beliau.

Di samping itu di dalam pertemuan itu juga turut diadakan perbincangan dua hala usul daripada Muslimat PAS Melaka tentang pembangunan rohani di dalam keluarga mengikut kaedah Islam demi melindungi wanita, orang tua dan kanak-kanak dan penguatkuasaan undang-undang dan pemberian bantuan.

Sementara itu Latipah di dalam penerangan tentang portfolionya menyebut tentang beberapa inisiatif yang akan diwujudkan kepada rakyat terutama untuk melindungi golongan warga emas dengan menyediakan tempat yang lebih sesuai dengan kehendak masyarakat.

Tambah Latipah lagi, beliau konsisten melayan aduan dan permasalahan masyarakat dari segi kekurangan bekalan makanan, bantuan utk ibu tunggal, OKU, baik pulih rumah dan sebagainya. Bantuan akan disalurkan melalui agensi tertentu seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) dan lain-lain.

Menyentuh tentang usul Dewan Muslimat Negeri Melaka iaitu menjana ekonomi digital wanita, memperkasa fungsi keibu-bapaan, memperluaskan fungsi balairaya, memperkasakan taska di tempat kerja dan lain-lain, beliau bersedia mempertimbangkan dan mengalu-alukan penyertaan Muslimat.

“Satu mesyuarat khas akan diadakan selepas ini bersama Dewan Muslimat Pas Negeri Melaka bagi meneliti dan memperhalusi cadangan-cadangan tersebut.” jelas beliau.

Beliau turut memberi sedikit motivasi tentang keberadaan beliau sebagai wanita dalam arena politik begitu lama kerana minat beliau sentiasa ada untuk bersama rakyat di samping niat yang betul.

Di akhir pertemuan tersebut kedua-dua pihak bersetuju dengan kesimpulan bahawa untuk mengatasi permasalahan masyarakat perlu dibangunkan rohani dalam jiwa individu agar lahirnya keluarga muslim dan masyarakat harmoni yg sentiasa mendapat keampunan daripada Allah s.w.t.

 


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)