DHPP Bantah Pesta Arak
KUALA NERUS – Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menegaskan pendirian membantah penganjuran pesta arak, Better Beer Festival 2017.
Ketuanya N Balasubramaniam berkata, pendirian tersebut selari dengan tuntutan mana-mana agama.
Menurutnya, DHPP tidak akan menyokong mana-mana pesta sebegitu, dan mengatakan, meminum arak hanya akan membuatkan peminumnya hilang akhlak dan minda.
“Pegambilan minuman beralkohol itu adalah hak dan pilihan individu tetapi galakan untuk meminumnya dengan menganjurkan pesta tidak seharusnya berlaku.
“Mana-mana agama tidak membenarkan dan menggalakkan penganutnya minum arak. Dalam agama Hindu sendiri, melalui kitab Veda dan Tamil Thirukuvul, arak adalah satu perkara yang dilarang.
“Jadi saya tidak nampak kenapa masih ada orang yang mempertahankan pesta sebegini. Kalau nak minum, minum sahaja.. jangan dibuat pesta dan ajak orang lain minum bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Dewan-Dewan sempena Fastaqim 2.0 bertempat di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyelar pemimpin DAP yang disifatkannya sengaja menjadikan perkara tersebut sebagai isu politik.
Menurutnya, mereka cuba menakut-nakutkan pengundi Cina agar tidak mengundi PAS.
Sebaliknya, kerajaan Kelantan dibawah PAS tidak pernah mengharakam orang bukan Islam minum.
“Kerajaan Kelantan tak haramkan arak, minum arak hak individu…..tapi bukan buat pesta minum arak,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, DHPP sudah bersedia bekerjasam dengan PAS dalam menghadapi PRU14 akan datang.
Jelasnya, jentera DHPP sudah ada di setiap negeri dan berikrar, akan terus bersama PAS dan memastikan kemenangan Islam.