Oleh : Siti Salwani Mohd Kassim.
MASJID TANAH : Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka telah membuat kunjungan hormat terhadap Ahli Parlimen Bersatu Masjid Tanah YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin di Pusat Khidmat Masyarakat ahli parlimen itu di sini kelmarin.
Kunjungan hormat ini dibuat bertujuan untuk membina silaturrahim antara Muslimat PAS dan Serikandi Bersatu sebagai parti komponen Perikatan Nasional Negeri Melaka.
Ketua Muslimat PAS Negeri Melaka, Hajah Aziah Md Saad dalam ucapannya merafakan kesyukuran kerana berjaya melaksanakan program ‘Ziarah Al Malak’ atau kunjung hormat pimpinan ini di dalam keadaan negara menjalani PKPB akibat pandemik covid19.
Aziah yang juga merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Masjid Tanah menyifatkan pertemuan ini sangat bermanfaat buat para wanita amnya dan Muslimat PAS khasnya dalam meningkatkan ilmu di bidang keusahawanan dan pembangunan ekonomi.
Beliau dalam majlis yang sama turut memperkenalkan tiga entiti Muslimat Muda di dalam Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka iaitu Ameerah , Briged Muslimat dan Nusaibah.
Sementara itu Mas Ermieyati yang juga merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berasa teruja untuk mengenali rakan-rakan baru dari kalangan Muslimat PAS Melaka. Kerana itu beliau amat berbesar hati membuka pintu menerima kunjungan ini dan berharap agar dapat bekerja bersama dalam menampilkan lebih ramai ikon wanita di negeri Melaka ini.
Tambah Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah itu lagi, pada hari ini hanya 1.6 peratus sahaja penglibatan wanita di dalam koperasi di seluruh Malaysia. Apabila beliau melihat ahli jawatankuasa Dewan Muslimat PAS yang hadir adalah dari latar belakang yang pelbagai, beliau telah mengambil kesempatan menggalakkan ahli Muslimat PAS agar menubuhkan koperasi dan mengintai peluang perniagaan atau servis mengikut norma baru.
“Sebelum ini, sebagai pembangkang mungkin kita tak nampak, tapi sekarang kita dah jadi kerajaan, kita kena gunakan jambatan (keberadaan menteri-menteri PAS dalam kabinet) itu untuk hubungkan Muslimat di bawah kita dengan semua kementerian yang ada, tak kiralah menterinya dari PAS atau tidak.
“Gunakan koperasi yang ada sebagai tools untuk turun bertemu ahli Muslimat akar umbi dan bercerita bagaimana nak mengupayakan ekonomi.
“Muslimat kena jadi champion dalam membina ekonomi ini.” katanya lagi memberi semangat.
Program ziarah Al Malak ini disertai oleh 11 anggota Dewan Harian dan Ketua-ketua Lajnah Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka.