Home Kenyataan Media PAS Melaka

PAS Melaka Ucap Selamat Ulangtahun Ke 62 TUDM

339
SHARE

UCAPAN SELAMAT ULANGTAHUN TUDM YANG KE 62 DARI BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI MELAKA

Hari ini adalah hari sambutan ulangtahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kali ke-62. Ini bermakna sudah 62 tahun pasukan TUDM gagah membelah awan biru melindungi ruang udara negara dari dicerobohi oleh anasir jahat dari dalam atau luar negara.

Mengimbau sejarah penubuhannya, ia sebenarnya bermula sebelum kemerdekaan negara lagi apabila penjajah British ketika itu menubuhkan Pasukan Sukarelawan Udara Negeri-negeri Selat (Straits Settlements Volunteer Air Force).

Dalam tahun 1940, dengan ancaman perang dari Empayar Jepun kian memuncak, pasukan ini dibesarkan menjadi Tentera Udara Sukarelawan Malaya (Malayan Volunteer Air Force (MVAF) dan dipertanggungjawabkan untuk menerbangkan pesawat-pesawat yang kebanyakannya terdiri dari pesawat-pesawat awam seperti Tiger Moth, Leopard Moth dan Dragon Rapide.

Kemudian, selepas merdeka, satu Enakmen telah diluluskan di Parlimen yang dikenali sebagai Ordinan Tentera Udara 1958 yang memberikan kuasa pembentukan sebuah pasukan dikenali sebagai ‘Tentera Udara Diraja Persekutuan.’

Ini bertujuan agar kita tidak lagi bergantung dengan bantuan pertahanan udara dari British sebagai tanda kemandirian demi memaknakan erti sebenar kemerdekaan yang telah kita capai setahun sebelum itu.

Sejak itu TUDM terus cemerlang menjadi benteng pertahanan udara negara menjaga sempadan udara dari Perlis sehingga ke Sabah dari dicerobohi oleh kuasa asing.

Maka dengan rasa bangga Badan Perhubungan PAS Melaka mengucapkan ‘Selamat Menyambut Hari Ulangtahun TUDM Yang Ke 62’ kepada semua warga TUDM samada yang masih berkhidmat atau pun yang sudah bersara.

Semoga TUDM akan terus gagah bersama dengan mottonya ‘Sentiasa Di Angkasaraya’.

USTAZ KAMARUDDIN SIDIK
Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka
1 Jun 2020


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)