Oleh NIK AZMAN NIK MUSTAFA
KOTA BHARU, 12 Ogos: Sempena sambutan Hijratul Rasul 1443 Hijriyah Peringkat Negeri Kelantan, qariah antarabangsa, Datuk Hajjah Faridah Mat Saman dipilih sebagai Tokoh Hijratul Rasul, 1443H.
Perisytiharan rasmi dibuat melalui siaran langsung secara maya di pautan https://fb.watch/7kfIaaFdqJ/ semalam.
Tokoh kelahiran 29 Oktober 1948 di Pasir Mas adalah anak pasangan Mat Saman Abdul Rahman dengan Che Yam Che Had.
Kehebatan Datuk Faridah yang tiada tandingan apabila dinobatkan sebagai Johan Qariah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa sebanyak lapan kali iaitu pada tahun 1964, 1965, 1972, 1976, 1977, 1989, 1990 dan 1991.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail II tahun 1955 hingga 1961 sehingga tamat darjah enam.
Pada usia 13 tahun beliau meneruskan pengajian tidak formal di Pondok Munduk Haji Razali Narathiwat, Thailand selama empat tahun bermula 1960 hingga 1963.
Beliau mewarisi bakat dalam bidang tarannum daripada datuk dan neneknya iaitu Tuan Guru Abdul Rahman Che Man dan Zainab Osman.
Beliau pernah mendapat bimbingan daripada Tuan Haji Ahmad Ma’som (Ahmad Ma’som Pergau), Tuan Guru Haji Ghazali Mandailing dari Indonesia dan dua orang guru al-Quran yang mashyur di Malaysia iaitu Datuk Haji Nik Jaafar dan Tuan Haji Hassan Musa.
Beliau mendirikan rumahtangga bersama pasangannya Allahyarham Mejar (Haji Hizam Suraidi pada tahun 1965 dan dianugerahkan enam orang cahaya mata lelaki dan tiga orang cahaya mata perempuan.
Berkat usaha serta kesabaran pasangan ini, kesemua cahaya mata mereka kini tampil cemerlang dari segi akademik dan juga sahsiah.
Atas jasa baktinya, pada 6 Jun 2016, beliau dianugerahkan pingat Panglima Jasa Negara (P.J.N) oleh KDYMM Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 bersempena Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda yang membawa gelaran Datuk.
Berbekalkan pengalaman lebih 50 tahun dalam bidang tarannum, beliau kini masih mencurahkan bakti kepada anak bangsa dengan mengadakan kelas pengajian al-Quran dan tarannum.