Home Artikel PAS Kelantan

Dasar MBI tingkat ekonomi Kelantan

108 views
SHARE

KERAJAAN Kelantan yang diteraju di bawah dasar Membangun Bersama Islam (MBI) kini melewati usia kematangan. Tanggal 20 Oktober 2017, genap ulangtahun ke-27. Kini dasar itu diperluaskan lagi, bukan lagi berlingkar di Kota Darulnaim. Di bawah menteri besar sekarang ia ditambah nilai kepada Merakyat MBI. Oleh itu bagi melihat pencapaian sepanjang tempoh tersebut ikuti temubual bersama Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob ketika ditemui Lanjusoh di pejabatnya baru-baru ini.

Harakah: Apa pencapaian yang kita boleh banggakan sepanjang 27 tahun MBI?

Menteri Besar: Syukur dan bangga di atas pencapaian dasar MBI. Kita ingati semula kegigihan Allahyarham Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat membentuk MBI. Pada waktu itu ia agak asing, namun Tok Guru mendapat ilham daripada al Quran dan Sunnah. Berasaskan dari situ kita berasa bertuah sehingga ke hari ini dapat berjalan baik biar pun menghadapi pelbagai cabaran. Dan selepas zaman arwah Tok Guru kita tambah baik dengan Merakyatkan MBI berpaksi tiga asas iaitu keberkatan, kemakmuran dan kebajikan. Dan kita menaruh keyakinan tinggi Kelantan boleh melangkah ke hadapan. Berdasar prestasi pertumbuhan ekonomi pada 2017 boleh kita simpulkan ia hasil kejayaan daripada dasar MBI. Kita terap nilai pengurusan cara Islam dan ada peningkatan dari semasa ke semasa. KDNK Kelantan diisytiharkan Jabatan Perangkaan meningkat daripada 3.5 kepada 4.8 peratus tahun ini. Ini tidak boleh dicapai semata-mata kerana faktor ekonomi biasa tetapi disumbang dua perkara iaitu keberkesanan aspek fizikal dan rohani. Ini yang kita rasa kagum dalam suasana Kelantan dari aspek infrastruktur dan kemudahan asas masih ketinggalan. Tetapi KDNK itu menunjukkan minat pelabur ke Kelantan begitu tinggi. Kita berjaya mewujudkan pusat-pusat perniagaan iaitu supermarket dan pasar raya besar. Ini menunjukkan keupayaan rakyat Kelantan biar pun dari segi ekonomi begitu sederhana. Pendapatan secara langsung disumbang sektor perkhidmatan dan pertanian. Sektor perkhidmatan disumbang industri pelancongan, hotel dan property. Setiap kali mesyuarat Exco kita menerima permohonan ubah syarat dan pecah sempadan lot.

Pencapaian lain?

Apabila nonMuslim faham tentang Islam dan boleh tunjukkan kepada orang lain pula bahawa inilah amalan Islam, ia boleh dianggap sebagai satu kejayaan besar. Sebab itu kita hendak Merakyatkan MBI. Allahyarham Tok Guru sejak awal lagi tidak mahu rakyat jadi kedekut. Saya juga mahu rakyat tidak berat tangan hendak membantu. Rakyat sebenarnya tidak sukar untuk menyokong perkara baik. Kita juga tidak berasa malu hendak cegah perkara mungkar. Sebab itulah pendekatan PAS iaitu budaya politik matang dan sejahtera (BPMS) adalah begitu baik. Namun bagi musuh politik mereka menganggap kita hendak berbaik dengan Umno pula. Sebenarnya inilah masanya untuk kita lihat keupayaan Islam menyelesaikan selesai masalah. Lagi pun Tok Guru juga acap kali sebut Kelantan sebagai ‘Universiti Politik Terbuka’. Inilah masanya kita hendak bayangkan ilmu politik yang ada di Kelantan sekarang boleh menyelamatkan ummah. Ditambah pula kerajaan BN yang ada sekarang seumpama kapal yang sarat dengan masalah dan hendak karam. Sebagai sebuah parti Islam kita hendak selamatkan orang yang berada dalam kapal supaya mereka juga boleh menerima Islam dan dapat dicontohi orang lain pula.

Industri pembinaan juga semakin rancak?

Aktiviti property berjalan berterusan biar pun dalam unit kecil. Rakyat Kelantan sentiasa berusaha meransang pertumbuhan ekonomi kerana terlibat dengan hartanah. Bidang pertanian pula hasrat arwah Tok Guru mahu menjadikan Kelantan sebagai jelapang makanan. Apa yang kita rancang sekarang melalui Exco pertanian dan syarikat milik kerajaan termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Perbadanan Menteri Besar (PMBK) ke arah memperkasakan sektor pertanian termasuk biotek. Kita juga menghantar misi pelaburan ke Jepun bagi menarik pelabur memajukan pertanian di Lojing yang sesuai tanaman bunga dan flora.

Mungkin ada pendekatan lain?

Kita hendak tumpu kepada Dakwah Bil Hal dan tidak boleh sekadar hendak bercakap sahaja. Kalau kita tidak setuju sesuatu perkara yang dibuat kerajaan persekutuan kita hantar wakil untuk berbincang dengan mereka. Kita beri cadangan. Misalnya isu Tabung Haji hanya beri subsidi kepada jemaah haji yang pertama kali menunaikan ibadat haji, namun kalau jemaah tidak pergi melalui Tabung Haji tidak pula diberi subsidi. PAS bantah dasar tersebut. Kita beritahu kaedah itu tidak betul kerana mereka juga mencarum dalam Tabung Haji. Wakil PAS pergi jumpa Tabung Haji dan meminta supaya jemaah yang pergi dengan swasta juga diberi subsidi kerana mereka juga mencarum. Mereka berhak juga mendapat subsidi. Inilah bentuk BPMS. Bukan bermaksud kita hendak bergabung dengan Umno.

Dasar berkebajikan yang dilaksana sekarang mungkin akan pertingkat lagi?

Sebenarnya dasar berkebajikan sudah banyak kita laksanakan. Kita cuba mencari kaedah-keadah terbaik. Misalnya program Desa Taqwa adalah sesuatu yang baik sebenarnya, cuma kita tidak dapat teruskan sebelum ini kemungkinan ketika itu orang ramai kurang faham. Jadi bantuan yang kita beri hanya berjalan separuh jalan sahaja. Oleh itu kita kena banyak beri kesedaran bagi melahirkan penduduk di desa taqwa benar-benar beriman kepada Allah. Mungkin kita akan ubahsuai dengan cara terbaru. Begitu juga dengan tabung Qardhu Hassan kita boleh bantu peniaga kecil dengan berpusat di masjid. Jemaah masjidlah yang perlu kita beri keutamaan. Mereka wajar dibantu kerana istiqamah datang ke masjid setiap hari. Mereka yang berada dalam kesusahan wajar dibantu menjalankan perniagaan kecil-kecilan termasuk menjual pisang goreng dan burger.

Biar pun Kelantan sudah banyak melaksanakan agenda kebajikan, namun nampaknya Umno Kelantan masih menganggap kerajaan PAS bernafsu besar kerana tidak mampu mentadbir?

Tidak sepatutnya kenyataan seperti itu dikeluarkan seorang yang bertaraf menteri. Nampak macam mahu mempopularkan diri tanpa berfikir panjang. Mahu bercakap tetapi tidak betul. Kita sudah buat beratus perkara yang ada kaitan dengan kebajikan rakyat. Kita sebagai sebuah negeri hasilnya kecil, tidak boleh hendak banding dengan kerajaan pusat. Ini seolah-olah menggambarkan pemimpin terbabit tidak boleh beza antara tugas pusat dan negeri. Sebagai menteri sepatutnya mereka membawa balik kemudahan-kemudahan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat Kelantan. Tetapi malangnya mereka lebih suka berpolitik, mahu mengalih sokongan rakyat terhadap Umno. Bagaimanapun rakyat sebenarnya sudah muak dengan janji-janji mereka. GST menyebabkan rakyat sangat kecewa sehingga kos sara hidup semakin meningkat. LANJUSOH 01/11/2017