Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Dasar dan sistem sekular punca rasuah subur

1364
SHARE

Kenyataan Media Penerangan. 173/44
26 Februari 2018 | 10 Jamadilakhir 1439H

*DASAR DAN SISTEM SEKULAR PUNCA RASUAH SUBUR*

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
https://m.facebook.com/kpenerangan/

1. Banyak organisasi dan badan berkaitan pencegahan rasuah ditubuh dan saban masa ia dinaiktaraf. Pelbagai undang-undang dan peraturan digubal dan dipinda untuk membolehkan tindakan dikenakan kepada pemberi dan penerima rasuah. Bermacam-macam slogan diperkenalkan dan kempen dilaksanakan untuk memberikan kesedaran kepada orang awam.

2. Namun, *rasuah tetap berlaku dan terus subur*. Bermula dari pegawai tinggi sehinggalah kepada pekerja bawahan disabit. Bukan sahaja seorang individu bahkan sekeluarga terlibat. Tidak hanya orang dewasa, remaja dan kanak-kanak pun mula terbabit.

3. Semacam mustahil semua orgaisasi dan badan; undang-undang dan peraturan; serta slogan dan kempen ini tidak dapat mematikan benih atau setidak-tidaknya pucuk rasuah di negara ini. Tetapi, itulah hakikat yang terpaksa kita akui.

4. Pun demikian, PAS tetap *memberikan penghargaan terhadap semua usaha yang telah dilaksanakan terutamanya oleh Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM)* bagi menangani jenayah rasuah di negara ini.

5. Sebenarnya, pengamalan *dasar dan sistem sekular* yang mengasingkan atau mengesampingkan prinsip dan fungsi agama (Islam) daripada menjadi intipati dalam model pemerintahan dan petadbiran negara adalah *punca yang menyebabkan rasuah tidak terhapus.*

6. Sekiranya Kerajaan dan pemimpin pun menganggap bahawa agama hanyalah urusan peribadi seseorang apatahlagi untuk terjemahkannya dalam hal ehwal pemerintahan dan pentadbiran, maka rakyat lagi-lagilah *tidak akan menjadikan agama sebagai suatu pedoman yang paling utama* dalam menjalani kehidupan.

7. Ditambah pula dalam keadaan terpaksa menghadapi tekanan hidup, pada masa yang sama, iman dalam diri terlalu nipis serta nafsu yang membuak-buak untuk memenuhi pelbagai kemahuan, tentunya rasuah menjadi pilihan sebagai jalan pintas untuk memiliki sesuatu yang diinginkan.

8. Berbeza bagi Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui oleh PAS dengan Dasar Membangun Bersama Islam yang berteraskan konsep _ubudiyyah_, memberikan penekanan bahawa manusia sebagai hamba kepada Allah; maka, setiap perbuatan dan pekerjaan seharian manusia hendaklah selari dengan syariat yang diturunkan oleh Allah.

9. Dasar ini telah berjaya membebaskan Kelantan daripada penyakit ini. Sehingga kini, tidak ada seorang pun EXCO atau anggota pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah sepanjang tempoh 28 tahun.

10. Lebih daripada itu, Pejabat Menteri Besar dan SUK Kelantan telah diberikan pengiktirafan menerusi Prestasi Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2016 dalam Laporan Ketua Audit Negara apabila mendapat markah 99.0%.

11. Oleh itu, suka saya tegaskan bahawa selagi Islam tidak dijadikan intipati dalam dasar dan sistem bernegara, penyakit rasuah ini tidak akan sembuh.

12. Sementara itu, kerajaan Kelantan bukan sahaja layak dijadikan contoh bahkan sayugianya dipertahankan supaya kekal rekod pentadbiran bersih tanpa rasuah.

Sejahtera Bersama Islam

Sekian