Home Artikel PAS Melaka

Dari Meja YDP Tangga Batu : Bersangka Baik Dengan Allah SWT

354
SHARE

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Bermula dengan sikap pihak berkuasa dahulu di peringkat awal yang mengambil ringan terhadap langkah-langkah pencegahan Wabak Covid-19 yang sepatutnya, menyaksikan kita telah dan sedang melalui fasa-fasa yang seperti berikut :

1. Perintah Kawalan Pergerakan PKP 1 (18 Mac – 31 Mac )
2. Perintah Kawalan Pergerakan PKP 2 (01 April – 14 April )
3. Dua kawasan telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD)

Walaupun ini bukan langkah yang INGIN diambil oleh Pihak Berkuasa sekarang tetapi ianya adalah langkah yang PERLU diambil.

Rata-rata dari rakyat jelata terkesan dengan situasi ini. Dan ianya tidak mustahil akan memburuk sekiranya sebilangan dari kita masih ambil sikap acuh tak acuh terhadap arahan PKP ini.

Namun bagi yang akur juga akan terkesan akibat keadaan ini. Majoriti dari kita sekarang ini tidak merasa ‘Zaman Jepun’ dan ‘Zaman Komunis’ satu ketika dahulu. Arahan PKP ini kita rasakan sudah sangat membebankan apatah lagi bagi keluarga besar yang tinggal di perumahan kos rendah atau rumah pangsa dua bilik tidur.

Adakah kita ada pilihan dalam situasi ini?

Jika kita tanya iman jawapannya sudah pasti ya kita ada pilihan. Semua yang berlaku adalah atas kehendak Allah SWT.

Sekurang-kurangnya kita boleh ambil peluang terhadap tiga perkara dalam situasi lockdown sekarang ini :

1. Menambah amal ibadat dan
ilmu

Peluang yang ada harus dimanfaatkan dengan amal ibadah sunat (yang selama ini mungkin kita tidak berkesempatan lakukan) selain memperelokkan ibadah wajib. Puasa sunat, solat dhuha, tadarrus Al Quran adalah antara amalan yang boleh kita lakukan ketika ini. Sementara itu juga pembacaan dari kitab sirah selain dari kitab tafsir quran dan hadith boleh dilakukan dengan lebih kusyuk lagi tanpa banyak gangguan telefon.

2. Mengeratkan silaturrahim
keluarga

Jika sebelum ini kita kurang masa yang berkualiti dengan ibubapa dan anak-anak, nah, inilah ruang masa yang Allah SWT berikan untuk kita manfaatkan. Pertingkatkan bakti kita kepada ibubapa
dan kenali dengan lebih berhikmah lagi akan budipekerti anak-anak kita.

3 Berdoa

Berdoalah apa sahaja yang baik-baik untuk diri kita, keluarga kita, sanak saudara kita, sahabat handai kita, guru-guru kita, para pemimpin kita dan seluruh muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup mahupun yang telah mati.

Sesungguhnya dalam keadaan kita sangat lemah inilah masa yang terbaik untuk kita berdoa. Jika ini merupakan ujian dari Allah, mintalah kita diberi kesabaran, ketaqwaan dan kekuatan untuk menghadapinya. Jika ini merupakan bala dari Allah, mintalah kita diselamatkan darinya.

Doakan seluruh “frontliners” dan keluarga mereka dilindungi Allah SWT sepanjang masa.

Doakan wabak ini berlalu dalam kita mengimaninya.

Allahu’alam

” ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN “

#StayAtHome

Hj Bakri Jamaluddin
YANG DIPERTUA
PAS KAWASAN TANGGA BATU

31 Mac 2020