Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Terbaru, Kluster Tembok Jasin

246
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 30 Ogos: Satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Tembok Jasin yang melibatkan sebuah institusi tahanan di Jasin, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu, sebanyak 45 kes positif dicatatkan oleh kluster ini sehingga hari ini dengan punca jangkitan adalah secara sporadik dan seterusnya menular dalam kalangan tahanan.

Kes positif baharu

Kata laporan itu lagi, sebanyak 395 kes positif baharu direkodkan hari ini dengan 386 kes adalah daripada kategori kes tempatan, dua kes daripada kategori kes import B dan tujuh kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 169 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 123 kes di Daerah Jasin dan 103 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 363 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 8022 kes masih dirawat dengan 80 kes adalah daripada kes ICU dan 19 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 395 kes hari ini ialah, 92 kes melibatkan kluster kilang; 123 kes melibatkan kontak keluarga; tujuh kes melibatkan institusi penjara; 34 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 109 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Kes kematian

Menurut JKN Melaka, sebanyak lima kes kematian baharu direkodkan hari ini, di mana satu kes dikesan di Daerah Melaka Tengah dan empat kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada dua wanita dan tiga lelaki yang berusia antara 29 dan 91 tahun.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 14.6 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 19.4 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 19,268 kes positif baharu, 295 kes kematian baharu dan 21,257 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 265,713 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,725,357 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 3567 kes, diikuti oleh Sabah yang mencatatkan 2310 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

Pengumuman khas JKN Melaka

JKN Melaka turut mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos ini individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Menurut jabatan itu lagi, seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.