Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Terbaru, Kluster Solok Duku dan Kluster Industri Simpang Ampat

469
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 7 Sept: Dua kluster baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini iaitu Kluster Solok Duku dan Kluster Industri Simpang Ampat, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, kedua-dua kluster ini dikesan di Daerah Alor Gajah di mana Kluster Solok Duku melibatkan sebuah komuniti di Mukim Sungai Baru Ulu dengan 51 kes positif telah direkodkan setakat ini.

Kluster Industri Simpang Empat pula melibatkan premis tempat kerja di Mukim Simpang Ampat dengan 43 kes positif direkodkan ini setakat ini.

Kes positif

Menurut JKN Melaka lagi, sebanyak 448 kes positif baharu direkodkan hari ini di mana 430 kes adalah daripada kategori kes tempatan, tiga kes daripada kategori kes import B dan 15 kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 231 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 82 kes di Daerah Jasin dan 135 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 454 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 7287 kes masih dirawat dengan 70 kes adalah daripada kes ICU dan 22 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 448 kes hari ini ialah, 59 kes melibatkan kluster kilang; 180 kes melibatkan kontak keluarga; 15 kes melibatkan institusi penjara; 13 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 115 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Kes kematian

Menurut JKN Melaka, sebanyak 10 kes kematian baharu direkodkan hari ini di mana enam kes direkodkan di Daerah Melaka Tengah melibatkan dua mangsa wanita berumur 29 dan 83 tahun dan empat orang mangsa lelaki berumur 52, 55 dan 60 tahun.

Tiga kes kematian lagi direkodkan di Daerah Jasin melibatkan seorang mangsa wanita berumur 59 tahun dan dua orang mangsa lelaki berumur 28 dan 69 tahun, sementara satu kes lagi direkodkan di Daerah Alor Gajah melibatkan mangsa lelaki berumur 22 tahun.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 16.1 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 20.7 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 18,547 kes positif baharu, 311 kes kematian baharu dan 18,902 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 252,002 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,880,734 kes.

Hari ini Sarawak sekali lagi mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 3200 kes, diikuti oleh Selangor yang mencatatkan 2407 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.