Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Lima kematian dan dua kluster baharu

228
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 28 Jun: Sebanyak lima kematian dan dua kluster baharu akibat Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM daripada lima kes kematian direkodkan hari ini, empat daripadanya dikesan di Daerah Melaka Tengah sementara satu kes lagi di Daerah Jasin.

Empat yang dikesan di Daerah Melaka Tengah itu, yang pertama melibatkan seorang wanita berusia 46 tahun dari Mukim Bukit Katil; kes kedua melibatkan seorang lelaki berusia 69 tahun dari Mukim Bandar Melaka; kes ketiga melibatkan seorang lelaki berusia 73 tahun dari Mukim Bukit Katil dan kes keempat melibatkan seorang lelaki berusia 75 tahun dari Mukim Bukit Baru.

Sementara satu lagi kes kematian yang direkodkan di Daerah Jasin pula melibatkan seorang lelaki berusia 57 tahun dari Mukim Serkam.

Laporan kluster

JKNM turut melaporkan terdapat pertambahan dua kluster baharu, kedua-duanya daripada kategori kluster tempat kerja iaitu iaitu Kluster Business City dan
Kluster Industri Teknologi Cheng-22.

Kluster Business City dikenalpasti hasil saringan bersasar di tempat kerja melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Business City, Ayer Keroh Melaka melibatkan 57 saringan, 23 kes positif dan lima kes baharu.

Kluster Teknologi Cheng-22 pula dikenalpasti hasil saringan bersasar di tempat kerja melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Taman Teknologi Cheng, Kawasan Perindustrian Cheng, Daerah Melaka Tengah, di mana seramai 624 orang telah disaring dengan 36 kes positif dan 14 kes baharu.

Sementara itu JKNM turut memaklumkan bahawa terdapat 39 kluster yang masih aktif di Negeri Melaka.

Kes positif baharu

JKNM juga melaporkan sebanyak 183 kes positif baharu direkodkan hari ini dengan 110 kes adalah daripada kategori tempatan, satu kes daripada kategori import dan 72 kes lagi daripada kategori banduan/OKT/PATI

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 137 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 34 kes di Daerah Jasin dan 12 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 236 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 2181 kes masih dirawat berbanding 2239 semalam dengan 92 kes adalah daripada kes ICU dan 17 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 5218 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 5586 kes semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1989 kes hari ini, diikuti oleh Negeri Sembilan yang mencatatkan 629 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 57 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 60 kes semalam sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 739,266 kes.