Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Lelaki 27 tahun dengan sejarah penyakit obesiti antara 9 maut

112
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 20 Jul: Seorang lelaki berumur 27 tahun yang mempunyai sejarah penyakit obesiti adalah antara sembilan mangsa kes kematian terbaru akibat Covid-19 di negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, mangsa yang berasal dari Mukim Batu Berendam dalam Daerah Melaka Tengah itu disahkan positif pada 15 Julai lepas.

Tambah laporan itu lagi, mangsa yang mendapat jangkitan di tempat kerja daripada Kluster Industri Batu Berendam itu mengalami gejala demam; batuk; kurang selera makan dan sesak nafas.

Laporan itu juga menyebut selain kes itu tadi, tiga lagi kes kematian direkodkan di Daerah Alor Gajah dan lima kes di Daerah Melaka Tengah melibatkan mangsa berumur antara 39 dan 74 tahun.

Kes positif baharu

Tambah JKN Melaka lagi, sebanyak 309 kes positif baharu dikesan di negeri ini hari ini, di mana 292 kes adalah daripada kategori kes tempatan, sembilan kes daripada kategori kes import, sementara lapan kes lagi adalah kes banduan/OKT/PATI.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 158 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 70 kes di Daerah Jasin dan 81 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 714 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 3884 kes masih dirawat berbanding 4299 semalam dengan 92 kes adalah daripada kes ICU dan 28 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

JKN Melaka turut menyenaraikan lima punca utama jangkitan bagi kes hari ini iaitu 54 kes melibatkan kluster kilang; 128 kes kontak keluarga; lapan kes Institusi Penjara; 65 kes tempat kerja (bukan kilang) dan 29 kes saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Laporan kluster

JKNM turut memaklumkan kewujudan satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Industri Teknologi Cheng 30 dalam Daerah Melaka Tengah yang merupakan kluster tempat kerja melibatkan 67 kes positif.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 10.1 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 4.7 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 12,366 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 10,972 kes semalam.

Selain itu, 93 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 129 kes semalam, sementara 7567 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 6439 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 133,703 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 939,899 kes.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 5524 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 1580 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.