Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Lelaki 26 tahun tanpa sejarah penyakit antara 4 maut

151
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 7 Jul : Seorang lelaki berumur 26 tahun yang tiada sejarah penyakit antara empat orang korban terbaru Covid-19 di Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM mangsa yang berasal dari Mukim Ayer Molek, Daerah Melaka Tengah itu mula disahkan positif pada 25 Jun dan mengalami gejala demam, batuk dan kurang selera makan.

Sementara tiga lagi kes kematian melibatkan seorang mangsa wanita berumur 46 tahun dari Mukim Krubong Daerah Melaka Tengah; seorang lelaki berumur 54 tahun dari Mukim Bukit Katil Daerah Melaka Tengah dan seorang lelaki berumur 56 tahun dari Mukim Merlimau Daerah Jasin.

Kes positif baharu

Selain itu, JKNM juga melaporkan sebanyak 358 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan 203 kes adalah daripada kategori kes tempatan, tiga kes daripada kategori kes import dan 152 kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 253 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 62 kes di Daerah Jasin dan 43 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 170 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 2770 kes masih dirawat berbanding 2586 semalam dengan 91 kes adalah daripada kes ICU dan 27 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kluster

JKNM turut melaporkan terdapat pertambahan dua kluster baharu hari ini iaitu Kluster Jalan Tun Razak Peringgit dan Kluster Jalan TMP Lapan di mana kedua-duanya adalah kluster tempat kerja dan berada di dalam Daerah Melaka Tengah.

Kluster Jalan Tun Razak Peringgit ini melibatkan jangkitan daripada kes indeks yang telah merebak dalam kalangan tempat kerja dan juga dalam kalangan kontak keluarga.

Seramai 114 orang kontak rapat telah disaring di mana 29 orang daripadanya telah dikesan positif namun punca jangkitan terhadap indeks kes masih dalam siasatan manakala premis ini telah diarahkan tutup sehingga 14 Julai.

Kluster Jalan TMP Lapan pula melibatkan seramai 69 orang kontak rapat yang telah disaring dengan 22 orang daripadanya telah dikesan positif manakala kilang yang terlibat ini telah diarahkan tutup bermula 2 Julai sehingga 11 Julai.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 7097 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 7654 kes semalam.

Selain itu, 91 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 103 kes semalam, sementara 4863 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 4797 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 74,344 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 799,790 kes.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 3119 kes hari ini, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 1005 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.