Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Kluster baharu Jalan Semabok

152
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 16 Mei : Satu lagi kluster baharu dilaporkan pada hari ini iaitu Kluster Jalan Semabok yang merupakan kluster yang melibatkan tempat kerja yang merupakan sebuah pusat servis kenderaan di daerah Melaka Tengah.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM kes indeks merupakan seorang pekerja di premis tersebut yang berumur 37 tahun dan beliau tidak mempunyai sejarah pergerakan rentas negeri serta tiada kontak kepada kes positif.

“Seramai 81 kontak rapat telah dikenalpasti bagi kes indeks tersebut melibatkan 21 orang kontak keluarga dan 60 orang kontak tempat kerja. Sebanyak 10 kes yang dikenalpasti merupakan kontak rapat kepada indeks.

“Kluster ini telah menular sehingga generasi keempat. Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 11 kes positif Covid-19 yang dikesan termasuk kes indeks,” ujar JKNM lagi.

Menurut laporan itu lagi, selain kluster baharu ini, kluster lain yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Telok Mas, Tembok Sungai Udang, Taman Malim Jaya, Jalan Gapam, Pengkalan Batik, Jalan Pokok Mangga, Jalan Melaka Raya, Kota Syahbandar, Jalan Kesidang, Teknologi Ayer Keroh, Kampung Hilir Alor Gajah, Air Budi, Seri Jati, Sebatu, Jalan Emas, Jalan Dahlia Lima, Kopitiam Machap Baru, Jalan PKAK Ayer Keroh, Jalan Limbungan Jaya, Jalan Serkam dan Tanjung Rimau.

“Terdapat pertambahan kes bagi kluster sedia ada iaitu 14 kes bagi Kluster Kampung Hilir Alor Gajah. Tiga kes bagi Kluster Air Budi. Tiga kes bagi Kluster Kopitiam Machap Baru. Dan dua kes bagi Kluster Sebatu,” kata laporan itu lagi.

Selain itu, sebanyak 122 kes positif baharu dilaporkan JKNM hari ini dengan 106 kes adalah daripada kategori tempatan dan 16 kes lagi adalah daripada kes import.

Jabatan itu juga melaporkan sebanyak 66 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 859 kes masih dirawat dengan 31 kes adalah daripada kes ICU dan sembilan kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Mukim-mukim dalam Negeri Melaka yang berada di dalam zon merah hari ini ialah mukim Machap, Sungai Baru Ilir dan Sungai Baru Tengah di Daerah Alor Gajah; mukim Bandar Melaka dan Bukit Katil bagi Daerah Melaka Tengah; sementara bagi Daerah Jasin pula ialah mukim Merlimau dan Sebatu.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 3780 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1275 kes diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 405 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 470,110 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .