Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Kluster baharu Bukit Godek dan 184 kes positif baharu

383
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 17 Jun : Satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Bukit Godek dalam Daerah Melaka Tengah dan 184 kes positif baharu dikesan di Negeri Melaka hari ini.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM kluster baharu ini berpunca daripada jangkitan dalam komuniti di mana kes indeks bergejala telah menjalani saringan kendiri.

Tambah JKNM, jangkitan telah merebak dalam kalangan ahli keluarga terdekat ditambah dengan kes juga ada menghadiri perjumpaan keluarga semasa majlis pernikahan ahli keluarga

Seterusnya jangkitan telah merebak dalam kalangan kontak keluarga yang terlibat di mana 66 kontak rapat telah disaring, 30 orang dikesan positif dan saringan kontak rapat masih diteruskan oleh PKD.

Sementara itu menurut laporan ini lagi, masih terdapat 31 kluster aktif di negeri Melaka (kluster Melaka) dan satu kluster luar Melaka.

Terdapat pertambahan kes bagi kluster sedia ada iaitu tujuh kes daripada Kluster Industri Batu Berendam; 67 kes bagi Kluster Industri Batu 16 Bemban; lima kes daripada Kluster Industri Jalan Usaha Merlimau; enam kes daripada Kluster Industri Teknologi Cheng dan enam kes kluster bagi Jalan Tun Fatimah.

Kes jangkitan baharu

JKNM juga melaporkan sebanyak 184 kes positif jangkitan baharu direkodkan hari ini di mana 179 kes daripadanya adalah daripada kategori tempatan, sementara lima kes lagi adalah daripada kategori import.

Menurut JKNM daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 83 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 79 kes di Daerah Jasin dan 22 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 121 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1555 kes masih dirawat dengan 65 kes adalah daripada kes ICU dan 20 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Kes kematian

Dua kes kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan hari ini di mana kedua-duanya lelaki daripada Daerah Jasin di mana seorang mangsa berusia 59 tahun daripada Mukim Serkam dan seorang lagi mangsa berusia 74 tahun daripada Mukim Umbai.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 5738 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, lebih tinggi daripada semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri sebanyak 1858 kes hari ini, lebih rendah daripada semalam diikuti oleh Negeri Sembilan yang mencatatkan 1086 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 60 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 678,764 kes.