Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Dua kes kematian baharu melibatkan warga emas

68
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 17 Mei : Dua kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini melibatkan warga emas, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, bagi kes kematian pertama, ia melibatkan seorang wanita berumur 90 tahun daripada Mukim Sungai Baru Ilir, Daerah Alor Gajah.

“Kes mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis, penyakit buah pinggang dan penyakit jantung. Kes juga merupakan kontak rapat kes positif Covid-19 iaitu anak dan menantunya,” kata JKNM.

Tambah JKNM lagi, punca kematian adalah Covid-19 Pneumonia with secondary bacterial infection.

Sementara itu bagi kes kematian kedua pula melibatkan seorang wanita berumur 86 tahun dari Mukim Sebatu, Jasin.

“Kes tidak mempunyai sejarah latar belakang penyakit tetapi memerlukan bantuan untuk menjalankan aktiviti harian.

“Kes merupakan kontak rapat kepada menantu yang positif Covid-19 dan berkait dengan kes positif Kluster Sebatu. Punca kematian ialah Covid-19 Pneumonia,” kata kenyataan itu lagi.

Selain itu, menurut laporan itu lagi, sebanyak 80 kes positif baharu dilaporkan JKNM hari ini dengan 72 kes adalah daripada kategori tempatan dan lapan kes lagi adalah daripada kes import.

Jabatan itu juga melaporkan sebanyak 49 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 888 kes masih dirawat dengan 35 kes adalah daripada kes ICU dan lapan kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Tambah laporan itu, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Telok Mas, Tembok Sungai Udang, Taman Malim Jaya, Pengkalan Batik, Jalan Pokok Mangga, Jalan Melaka Raya, Kota Syahbandar, Jalan Kesidang, Teknologi Ayer Keroh, Kampung Hilir Alor Gajah, Air Budi, Seri Jati, Sebatu, Jalan Emas, Jalan Dahlia Lima, Kopitiam Machap Baru, Jalan PKAK Ayer Keroh, Jalan Limbungan Jaya, Jalan Serkam, Tanjung Rimau dan Jalan Semabok.

Terdapat pertambahan kes bagi kluster sedia ada iaitu dua kes bagi Kluster Kampung Hilir; 11 kes bagi Kluster Air Budi; dua kes bagi Kluster Jalan Semabok; dan satu kes bagi Kluster Tanjung Rimau.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 4446 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1650 kes diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 433 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 474,556 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis dan Labuan.

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .