Home Artikel PAS Wilayah

Pemuda PAS Wangsa Maju hargai petugas keselamatan, ‘riders’

34
SHARE

WANGSA MAJU, 17 Mei – Prihatin terhadap petugas keselamatan dan penghantar makanan, Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju tampil menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Penyelaras Parlimen Wangsa Maju, YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, sebanyak 100 pek makanan disumbangkan kepada petugas di Balai Polis Setapak dan Balai Polis Wangsa Maju manakala 100 pek lagi diagihkan kepada penghantar makanan.

“Tujuan sumbangan ini adalah untuk menghargai petugas barisan hadapan kerana seperti yang kita tahu negara masih lagi berada dalam ‘peperangan’ yang belum selesai menentang wabak Covid-19, jadi kita tampil hulurkan sedikit sumbangan kepada mereka.

“Kita turut mengambil peluang mengagihkan pek makanan kepada ‘riders’ seperti Food Panda, Grab Food dan sebagainya kerana mereka juga merupakan sebahagian daripada ‘frontliners’ dan kita menghargai titik peluh mereka bekerja keras menghantar makanan ketika musim pandemik.

“Usaha kami menghulurkan sumbangan juga tidak terhenti setakat di sini dan esok kita akan ke lokasi lain juga untuk menghantar pek-pek makanan kepada ‘frontliners’,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Wangsa Maju, Ustaz Mohd Abdul Hadi Ghazali menjelaskan bahawa mereka mula aktif melakukan kerja amal itu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Jelas Abdul Hadi, program-program tersebut mendapat tajaan penuh daripada Penyelaras Parlimen Wangsa Maju, YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

“Penghantar makanan kini menjadi cabang pekerjaan baharu yang bukan sahaja penting malah popular dalam kalangan individu kehilangan pekerjaan.

“Kita akan teruskan kerjasama ini dan diharapkan mesej ‘Kita Jaga Kita’ ini akan diteruskan dalam membantu golongan memerlukan. Untuk mereka yang lain, teruskan duduk di rumah demi keselamatan bersama,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kerjaya sebagai penghantar makanan dan barangan sentiasa berhadapan dengan pelbagai risiko dan mengejar masa bagi memastikan pesanan pelanggan tepat pada masanya.

“Kita sedar kadang-kala mereka tidak sempat menjamah makanan demi menyelesaikan tugasan. Oleh itu, pemberian ini sebagai menghargai penat lelah mereka,” ujarnya.