Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Dua kematian baharu di Melaka Tengah

106
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 14 Mei : Dua kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini melibatkan Daerah Melaka Tengah, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

“Kes pertama seorang wanita berumur 64 tahun di Kampung Lapan. Mempunyai penyakit darah tinggi dan obesiti. Beliau merupakan kontak rapat kepada anaknya yang disahkan positif Covid-19 sebelum itu,” kata laporan itu.

Tambah laporan itu, mangsa telah dimasukkan ke Hospital pada 25 April dan penyebab kematian adalah Covid-19 Severe Pneumonia complicated with ARDS, Ventilator Associated Pneumonia (ACB) and Multi Organ Failure.

“Kes kedua seorang lelaki berumur 70 tahun dari Banda Hilir. Mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis. Mendiang adalah kontak kepada kes positif Covid-19 semasa makan malam bersama rakan.

“Punca kematian Covid-19 Pneumonia with Cytokine Syndrome and multiple organ failure,” tambah JKNM lagi.

Sementara itu sebanyak 107 kes positif baharu direkodkan di negeri Melaka hari ini di mana 101 daripadanya adalah daripada kes tempatan, lima kes adalah kes import manakala satu kes lagi adalah kes banduan OKT.

Jabatan itu juga melaporkan sebanyak 71 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 801 kes masih dirawat dengan 34 kes adalah daripada kes ICU dan 10 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Mukim-mukim dalam Negeri Melaka yang berada di dalam zon merah hari ini ialah mukim Machap, Sungai Baru Ilir, Sungai Baru Tengah dan Klemak di Daerah Alor Gajah; mukim Bandar Melaka dan Bukit Katil bagi Daerah Melaka Tengah; sementara bagi Daerah Jasin pula ialah mukim Sebatu.

Menurut laporan itu lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Telok Mas, Tembok Sungai Udang, Taman Malim Jaya, Jalan Gapam, Pengkalan Batik, Jalan Pokok Mangga, Jalan Melaka Raya, Kota Syahbandar, Jalan Kesidang, Teknologi Ayer Keroh, Kampung Hilir Air Gajah, Air Budi, Seri Jati, Sebatu, Jalan Emas, Jalan Dahlia Lima, Kopitiam Machap Baru, Jalan PKAK Ayer Keroh, Jalan Limbungan Jaya, Jalan Serkam dan Tanjung Rimau.

PKPD di Kampung Lubok Redan

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Lubok Redan, Alor Gajah, Melaka bermula dari 16 Mei sehingga 29 Mei depan.

Menurut Ismail, keputusan ini dibuat setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.

“Sehingga kini, KKM mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes dalam tempoh dua minggu apabila sebanyak 56 kes positif telah direkodkan di lokaliti ini,” ujar beliau.

Menurut beliau pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar.

Beliau menyatakan perkara ini di dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh kementerian beliau petang tadi.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 4113 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1269 kes diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 533 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 462,190 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .