Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 9 kematian, 222 kes positif dan 2 kluster baharu

115
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 9 Jul: Sebanyak sembilan kes kematian, 222 kes positif dan dua kluster baharu direkodkan di negeri ini pada hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Daripada sembilan kes kematian itu, lima daripadanya dikesan di Daerah Alor Gajah, dan masing-masing dua kes di daerah Melaka Tengah dan Jasin.

Kes positif baharu

Sementara itu, daripada 222 kes positif baharu itu pula, menurut JKNM, 173 kes adalah daripada kategori kes tempatan, 12 kes daripada kategori kes import dan 37 kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 168 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 21 kes di Daerah Jasin dan 33 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 438 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 2491 kes masih dirawat berbanding 2770 semalam dengan 85 kes adalah daripada kes ICU dan 18 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kluster

Menurut JKNM lagi, dua kluster baharu yang dikesan di negeri Melaka pada hari ini ialah Kluster Merdeka Permai dan Kluster Taman Cempaka yang mana kedua-duanya melibatkan Daerah Melaka Tengah dan merupakan kluster tempat kerja.

Kluster Taman Merdeka Permai melibatkan 115 kontak kes telah disaring setakat ini dengan 21 kes disahkan positif manakala Kluster Taman Cempaka pula melibatkan 153 orang kontak yang telah disaring dengan 23 kes disahkan positif.

Sementara premis terlibat bagi kedua-dua kluster ini telah diarahkan tutup bagi tujuan disinfeksi dan saringan kontak rapat.

Tambah JKNM, terdapat satu kluster diumumkan tamat hari ini iaitu Kluster Jalan Tanjung Minyak yang telah mencatatkan sebanyak 74 kes kumulatif sementara terdapat 32 kluster lagi dilaporkan masih aktif di Negeri Melaka.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 9180 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 7097 kes semalam.

Selain itu, 77 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 91 kes semalam, sementara 5713 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 4863 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 80,665 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 817,838 kes.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 4400 kes hari ini, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 1271 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.