Home Berita PAS Terengganu

Cukup bermain politik, fokus kepada rakyat

69
SHARE

KUALA TERENGGANU, 9 Julai – ‘Cukup bermain politik seketika, fokus kepada rakyat,” seru Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, ketika diminta mengulas tentang isu politik dihadapi negara pada masa kini.

Katanya, rakyat dalam negara sedang bertarung dengan tekanan ekonomi dan pendapatan terjejas dalam mengharungi kesan pandemik COVID-19.

“Buat masa kini ada yang sedang mengalami cabaran dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), pusat kuarantin dan sebagainya. Kita harap agar ahli-ahli politik lupa tentang semua yang tidak berkenaan dan fokus terhadap Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung sempena Munajat Rakyat 5.0 di TVDI, semalam.

Sementara itu, beliau turut mengajak semua umat Islam dalam Terengganu untuk menghadiri program Munajat Rakyat sempena Hari Arafah yang akan diadakan secara maya pada minggu hadapan.

“Ini adalah satu inisiatif khusus untuk mengambil kemuliaan pada hari peristiwa itu, walaupun kita tidak dapat menunaikan ibadat Haji, namun bermunajat pada hari Arafah ada kelebihannya,” tambahnya lagi.

Ketika diminta mengulas berkenaan Terengganu membenarkan solat fardu, Jumaat dan solat sunat Aidiladha mengikut keluasan masjid dan surau dan prosedur operasi standard (SOP), beliau mengingatkan rakyat negeri untuk tidak bersikap sambil lewa dengan kelonggaran tersebut.

“Ingatlah bahawa kita masih belum mencapai tahap pemvaksinan yang tinggi dan SOP perlu diutamakan, namun begitu ayuh kita kembali mengimarahkan masjid dan surau untuk solat,” nasihatnya.