Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 850 kes sembuh, 370 kes positif baharu hari ini

81
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 25 Jul: Sebanyak 850 kes sembuh dan 370 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) ini dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Ini menjadikan sebanyak 4030 kes masih dirawat hari ini berbanding 4522 semalam dengan 106 kes adalah daripada kes ICU dan 26 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Menurut laporan itu juga, daripada 370 kes positif baharu yang dikesan di negeri ini hari ini, 361 kes adalah daripada kategori kes tempatan, tiga kes daripada kategori kes import dan enam kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Kata jabatan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 192 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 33 kes di Daerah Jasin dan 145 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Lima punca utama jangkitan bagi 370 kes hari ini ialah, 26 kes melibatkan kluster kilang; 288 kes kontak keluarga; enam kes melibatkan Institusi Penjara; 10 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang sementara 42 kes saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Laporan kes kematian

Menurut JKN Melaka lagi, sebanyak lima kes kematian baharu direkodkan hari ini di mana empat kes berlaku di hospital sementara satu kes lagi berlaku sebelum mangsa tiba di hospital.

Tiada butiran lain berkaitan kematian dilaporkan.

Laporan kluster

Tiada kluster baharu dikesan hari ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 11.5 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 5.4 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 17,045 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 15,902 kes semalam.

Selain itu, 92 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 184 kes semalam, sementara 9683 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 9471 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 160,903 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini telah melepasi satu juta kes iaitu berjumlah 1,013,438 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 8500 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 2045 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.