Home Berita PAS Wilayah

Lebih 180 buah keluarga terima sumbangan PN Batu

20
SHARE

Oleh: Amani Malizi

BATU 25 JULAI- Perikatan Nasional Batu telah berjaya menyampaikan sumbangan barang keperluan harian kepada keluarga yang memerlukan di sekitar Parlimen Batu, baru-baru ini.

Tujuan sumbangan tersebut adalah khusus untuk meringankan beban golongan yang terjejas akibat pendemik Covid-19 sekaligus memberi keceriaan kepada penerima yang beragama Islam sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu.

Turut serta dalam pengagihan Sumbangan Bantuan Aidiladha tersebut adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ustaz Azhar Yahya, Pegawai Penyelaras Parlimen Batu, S Gobi Krishnan, para pimpinan tertinggi PAS Kawasan Batu dan sukarelawan daripada kedua-dua parti.

Menurut Ustaz Azhar Yahya, antara sumbangan yang diberikan kepada semua penerima adalah berupa sekampit beras, ayam mentah, minyak masak, pelbagai jenis sayur-sayuran dan barangan kering yang lain.

“Rata-rata penerima yang hadir sangat berterima kasih dan menghargai sumbangan yang disalurkan buat mereka kerana kebanyakan mereka adalah sememangnya dari golongan yang wajar dibantu,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, jelas terpancar kegembiraan khususnya buat mereka yang beragama Islam kerana dengan sumbangan tersebut turut dapat menggembirakan ahli keluarga mereka yang lain dalam menyambut Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Lebih 180 keluarga telah menerima manfaat daripada sumbangan kali ini dan antara enam tempat tumpuan yang dijadikan sebagai perhentian bagi pengagihan sumbangan kepada peduduk setempat adalah di sekitar Perkarangan Pejabat Penduduk Flat Sri Murni Selayang, Surau Hidayah PPR Wahyu 2, Dewan Orang Ramai Batu Permai, Tapak Pasar Tani Depan Masjid Saidina Hamzah , Surau An-Nur Fasa 8/9 dan Dewan Komuniti Sentul Murni Utama.