Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 8 kes kematian baharu, salah seorangnya OKU bisu

125
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 8 Jul : Melaka mencatatkan kes kematian harian Covid-19 sebanyak lapan kes hari ini di mana salah seorang daripadanya adalah seorang wanita orang kurang upaya (OKU) bisu.

Demikian dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM mangsa OKU tersebut yang berumur 42 tahun berasal dari Mukim Tanjung Rimau, Daerah Alor Gajah disahkan positif pada 2 Julai lepas.

Tambah laporan itu lagi, mangsa yang mengalami gejala demam dan hilang selera makan itu mendapat jangkitan secara sporadik.

Lima kes lagi dikesan di Daerah Melaka Tengah melibatkan mangsa berumur antara 42 dan 76 tahun dan
masing-masing satu kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah dan Daerah Jasin melibatkan mangsa berumur 85 dan 66 tahun.

Kes positif baharu

Selain itu, JKNM juga melaporkan sebanyak 183 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan 176 kes adalah daripada kategori kes tempatan, enam kes daripada kategori kes import dan satu kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 121 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 20 kes di Daerah Jasin dan 42 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 229 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 2716 kes masih dirawat berbanding 2770 semalam dengan 86 kes adalah daripada kes ICU dan 26 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kluster

Terdapat satu kluster diumumkan tamat hari ini iaitu Kluster Kilometer 35 Kemendor yang telah mengumpul 34 kes kumulatif.

Sehingga hari ini masih terdapat 32 kluster yang direkod masih aktif di Negeri Melaka.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 8868 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 7097 kes semalam.

Selain itu, 135 kes kematian baharu direkodkan hari ini yang merupakan rekod harian tertinggi setakat ini berbanding 91 kes semalam, sementara 5802 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 4863 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 77,275 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 808,658 kes.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 4152 kes hari ini, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 1133 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.