Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 697 kes positif baharu hari ini

81
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 31 Jul: Sebanyak 697 kes positif baharu direkodkan di negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu, daripada 697 kes positif baharu yang dikesan di negeri ini hari ini, 680 kes adalah daripada kategori kes tempatan, tiga kes daripada kategori kes import dan 14 kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Kata jabatan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 378 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 116 kes di Daerah Jasin dan 203 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 337 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 5232 kes masih dirawat hari ini berbanding 4876 semalam dengan 92 kes adalah daripada kes ICU dan 22 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 697 kes hari ini ialah, 170 kes melibatkan kluster kilang; 300 kes kontak keluarga; 14 kes melibatkan Institusi Penjara; 97 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang sementara 106 kes saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Kes kematian

Menurut JKN Melaka, sebanyak empat kes kematian baharu dilaporkan hari ini, di mana tiga kes direkodkan di Daerah Alor Gajah dan satu kes direkodkan di Daerah Melaka Tengah.

Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki yang berusia antara 58 dan 79 tahun.

Laporan kluster

Tiada pertambahan kluster baharu dilaporkan.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 13.5 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 6.5 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 17,786 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 16,840 kes semalam.

Selain itu, 165 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 134 kes semalam, sementara 11,718 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 12,179 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 189,609 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,113,272 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 6400 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 1962 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.