Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 631 kes positif baharu hari ini

131
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 24 Jul: Sebanyak 631 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) ini dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu, daripada 631 kes positif baharu yang dikesan di negeri ini hari ini, 625 kes adalah daripada kategori kes tempatan, empat kes daripada kategori kes import dan dua kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Kata jabatan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 508 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 42 kes di Daerah Jasin dan 81 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga menambah, sebanyak 247 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 4522 kes masih dirawat berbanding 4150 semalam dengan 96 kes adalah daripada kes ICU dan 25 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kes kematian

Menurut JKN Melaka lagi, sebanyak tujuh kes kematian direkodkan hari ini di mana satu kes dikesan di Daerah Alor Gajah, empat kes dikesan di Daerah Melaka Tengah manakala dua kes lagi dikesan di Daerah Jasin.

Secara keseluruhan kes kematian hari ini melibatkan enam mangsa lelaki dan seorang wanita yang berumur antara 33 dan 63 tahun.

Laporan kluster

Terdapat satu kluster baharu dikesan hari ini iaitu Kluster Jalan Perniagaan Jelatang dalam Daerah Alor Gajah yang merupakan kluster tempat kerja dengan merekodkan 33 kes positif setakat ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 11.2 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 5.3 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 15,902 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 15,573 kes semalam.

Selain itu, 184 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 144 kes semalam, sementara 9471 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 10,094 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 153,633 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 996,393 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 7351 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 2406 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.