Home Berita PAS Pahang

Penduduk lega setelah tiga hari terputus bekalan air

160
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 23 Julai ::  Penduduk sekitar Gebeng, Balok Perdana, Kampong Selamat, Jabor, Aspa Cottage, Sungai Ular, Cherating dan Chendor merasa lega dengan adanya bekalan air pada hari ini setelah ianya terputus selama tiga hari.

Lebih dari 11,000 pelanggan paip air yang terjejas adalah terdiri penduduk kampung, taman-taman perumahan, pekerja di kilang-kilang, pejabat-pejabat kerajaan dan swasta.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah YB Andansura Rabu dalam laman sosialnya menyatakan bahawa kejadian tersebut berlaku kerana kerja-kerja penyelenggaraan saluran air sedang dibuat di kawasan tersebut.

“Asalnya pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) mengeluarkan notis gangguan bekalan air pada Selasa lalu bermula jam sepuluh pagi hingga ke tengah malam.

“Bagaimanapun, tempoh masa pembaikan terpaksa dilanjutkan kerana kadar kerosakannya memang menyulitkan yang melibatkan paip pecah jenis mild steel berukuran 1000mm.

“Ternyata skala kerosakan yang menyulitkan tidak membolehkan pasukan penyelenggaraan menyiapkan kerja dalam tempoh masa yang dianggarkan” kata Andansura yang telah turun meninjau ke lokasi pembaikan di Jalan Bypass Kuantan – Gebeng.

Semasa tinjauan dilakukan, Andansura telah mendapat taklimat dari Ketua Pasukan Penyelenggaraan PAIP di lokasi tersebut.

“Kita difahamkan kebocoran pertama telah dibaiki namun terdapat satu lagi kebocoran selang beberapa meter dari kebocoran asal.

“Kedudukan tempat bocornya pula berada di bahagian bawah paip dan memaksa pasukan menggali lebih dalam selain perlu menunggu air kering untuk membolehkan pembaikan dapat dilakukan”, kata Andansura.

Beliau yang juga sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang menyatakan bahawa pihak PAIP telah membekalkan sebanyak sepuluh buah lori muatan tangki air ke kawasan yang terjejas sepanjang kerja-kerja penyelenggaran dan pembaikan dilakukan.

Sementara itu, Markas PAS Sungai Ular telah menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan bekalan air dalam tempoh tiga hari tersebut.

Air yang dikeluarkan melalui boreng (tubeware) diusahakan oleh Ketua Cawangan PAS Sungai Ular, Jamnan Wahid telah memberi kelegaan kepada penduduk sekitar tersebut.

“Saya rasa bersyukur dengan sedikit usaha ini dapat membantu masyarakat, memudahkan mereka untuk mendapatkan bekalan air  khasnya untuk berwhuduk dan sebagainya”, kata Jamnan Wahid ketika dihubungi melalui talian.