Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 15 Ogos: Sebanyak 631 kes positif dan enam kes kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini, lapor Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.
Menurut JKN Melaka, daripada 631 kes positif baharu itu, 617 kes adalah daripada kategori kes tempatan, satu kes daripada kategori kes import B dan 13 kes bagi kategori banduan/OKT/P
Kata laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 329 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 76 kes di Daerah Jasin dan 226 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.
Sebanyak 300 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 6723 kes masih dirawat dengan 105 kes adalah daripada kes ICU dan 40 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.
Empat punca utama jangkitan bagi 631 kes hari ini ialah, 119 kes melibatkan kluster kilang; 262 kes melibatkan kontak keluarga; 13 kes melibatkan institusi penjara; sementara 356 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.
Kes kematian
Menurut JKN Melaka, sebanyak enam kes kematian direkodkan di Negeri Melaka hari ini di mana dua kes direkodkan di Daerah Melaka Tengah, tiga kes di Daerah Alor Gajah dan satu kes di Daerah Jasin.
Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada masing-masing tiga wanita dan lelaki yang berusia antara 31 dan 85 tahun.
Laporan kluster
Tiada kluster baharu direkodkan hari ini.
Kes seluruh negara
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 16.9 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 10.4 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.
KKM juga melaporkan sebanyak 20,546 kes positif baharu, 282 kes kematian baharu dan 16,945 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 247,261 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,404,899 kes.
Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 7307 kes, diikuti oleh Sabah yang mencatatkan 1665 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.
|