Home Berita PAS Johor

Jadikan bakat menulis sebagai penyampai maklumat yang berkesan

89
SHARE

Oleh : SHARIFAH AJIL

MUAR, 15 Ogos : “Sebagai ejen penerangan, kita seharusnya berperanan terbaik untuk dapat menyampaikan maklumat kepada masyarakat dengan lebih berkesan,”

Demikian antara petikan ucapan alu-aluan Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Rusman Kemin dalam Bengkel Penulisan Berita yang dianjurkan Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Johor secara dalam talian, semalam.

Beliau menyatakan harapan dengan melalui bengkel yang dijalankan ini, akan dapat melahirkan lebih ramai lagi penulis-penulis berbakat supaya dapat membantu melaporkan segala aktiviti dan isu-isu semasa, yang berlaku di kawasan masing-masing.

Program berkenaan yang dibuka penyertaan kepada semua lapisan ahli telah bermula seawal jam 9.30 pagi dan disertai hampir 70 orang peserta yang hadir secara maya dari seluruh kawasan negeri Johor.

Rusman turut menyatakan kekurangan laporan dan berita daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan di PAS kawasan serta akar umbi, yang menyebabkan program aktiviti PAS jarang mendapat perhatian di mata masyarakat.

“Suasana pandemik yang berlaku pada negara ini harus dimanfaatkan kerana masyarakat sentiasa melihat perkembangan semasa melalui media sosial, maka sudah pasti penulisan juga akan mendapat tatapan dan perhatian pembaca,” ujarnya.

Beliau mengingatkan para penggerak PAS harus menyediakan diri dengan pelbagai kemahiran seperti penulisan berita; untuk berhadapan dengan dunia teknologi hari ini yang begitu pantas.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan mengucapkan tahniah atas penganjuran program yang mana merupakan kesinambungan daripada resolusi Konvensyen LPMB PAS Johor yang telah dijalankan sebelum ini.

Sementara itu, peserta program juga telah mendapat bimbingan sepenuhnya daripada Ketua Editor Portal Berita PAS Pusat, Ibnu Janie dan berakhir pada jam 1.30 tengah hari.

Antara pengisian yang disampaikan kepada peserta ialah modul asas kewartawanan, asas struktur penulisan berita dan pelbagai lagi modul.

“Melalui bengkel ini, diharapkan para peserta dapat manfaatkan ilmu semaksima mungkin untuk memulakan penulisan berita dengan baik.

“Semua peserta disarankan untuk terus membuat percubaan menulis mulai hari ini, kerana dengan cara kekerapan menulis, segala kesilapan dapat dibaiki dan penulisan akan lebih bertambah baik,” kata Ibnu Janie.