Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 411 kes positif dan 3 kematian baharu

135
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 12 Jul: Sebanyak 411 kes positif dan tiga kes kematian baharu direkodkan di negeri ini hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, daripada 411 kes positif baharu itu pula, 297 kes adalah daripada kategori kes tempatan, empat kes daripada kategori kes import sementara 110 kes lagi kes banduan / OKT/ PATI.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 214 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 49 kes di Daerah Jasin dan 148 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

JKNM turut menyenaraikan lima punca utama jangkitan bagi 411 kes pada hari Ini iaitu pekerja kilang – 114 kes; kontak keluarga – 127 kes; institusi penjara – 114 kes; tempat kerja bukan kilang – 20 kes dan saringan bergejala – 16 kes sementara selebihnya adalah daripada lain-lain saringan.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 256 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 3408 kes masih dirawat berbanding 3257 semalam dengan 98 kes adalah daripada kes ICU dan 27 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kematian

Sementara itu tiga kes kematian yang dikesan hari ini kesemuanya dari Daerah Melaka Tengah melibatkan dua mangsa wanita yang masing-masing berumur 81 dan 64 tahun manakala seorang lagi mangsa merupakan mangsa termuda iaitu seorang lelaki berumur 29 tahun.

Laporan kluster

Tambah JKNM lagi, masih terdapat 32 kluster yang masih aktif di Negeri Melaka hari ini dan lima kluster luar Melaka.

Terdapat satu kluster diumumkan tamat pada hari ini iaitu Kluster Kampung Hilir Alor Gajah dengan kumulatif kes sebanyak 376 kes.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 8574 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 9105 kes semalam.

Selain itu, 102 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 91 kes semalam, sementara 5041 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 5194 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 91,272 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 844,870 kes.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 4308 kes, diikuti oleh Negeri Sembilan yang mencatatkan 794 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.