Home Rencana PAS Johor

Rencana | Allah yang tentukan anak kita pandai atau ‘bodoh’

53
SHARE

TIPS MENDIDIK ANAK CEMERLANG

Oleh : BASRI DIN KAMAR

Anak saya, Mus’ab dapat 11A dalam peperiksaan SPM 2020 yang lepas. Dalam FB dan whatsapp, ada beberapa kenalan dan saudara- mara rapat yang meminta tips mendidik anak.

Saya hanya jawab secara ringkas,

“Dah Allah nak bagi dia pandai, pandailah dia”.  

Itu jawapan versi pendek, sesuai dijawab di ruang komen dan sekadar meraikan soalan.

Kali ini saya hendak kongsikan jawapan versi panjang sedikit.

 

TIPS 1: ALLAH YANG TENTUKAN ANAK KITA PANDAI ATAU ‘BODOH’. 

Saya cuba menerapkan falsafah dakwah dalam pendidikan anak-anak.

Dalam dakwah, Allah tidak tengok dakwah kita diterima atau tidak. Tetapi Allah tengok adakah kita sudah betul-betul berusaha sampaikan dakwah atau tidak.

Nabi Noh a.s berdakwah selama 950 tahun. Pengikut baginda hanya 80 orang. Allah tak kata Nabi Noh gagal. Kemurkaan Allah adalah apabila kita tinggalkan usaha dakwah.

Apabila seseorang menerima seruan dakwah kita, sebenarnya Allahlah yang beri hidayah pada orang itu. Dakwah kita hanya ‘asbab’nya sahaja. Kita tidak boleh mendabik dada dengan berkata,

 “Dengan kebijakan dakwah akulah orang ini dapat hidayah”.

Itu pemahaman yang salah. Begitu juga apabila orang menolak dakwah kita. Kita tidak perlu ‘terlalu’ menyalahkan diri sendiri.

Jika Allah tidak mahu beri hidayah, datanglah pendakwah hebat seperti Nabi Muhammad s.a.w sekalipun tidak akan mampu menerima dakwah.

Bayangkan, Nabi sendiri tidak mampu membuka hati bapa saudara yang dikasihi iaitu Abu Talib untuk menerima Islam.

Dalam dunia dakwah, yang penting adalah usaha, bukannya hasil.

Falsafah atau pemahaman beginilah yang saya cuba terapkan dalam dunia pendidikan, samada saya sebagai bapa mahupun guru.

Ibubapa dan guru adalah pendakwah, anak dan murid adalah mad’u (orang yang didakwah).

Jika Allah mahu beri ‘hidayah’ kepandaian seperti dapat 11A SPM kepada anak kita, maka anak kita akan tetap dapat 11A walaupun kita langsung tidak mendidik anak. Sebab itulah bila orang tanya saya tentang tips mendidik anak, jawapan ringkas saya,

“Dah Allah nak bagi dia pandai, pandailah dia”.

Sebaliknya, jika Allah hendak jadikan anak kita ‘bodoh’, datangkanlah tokoh pendidikan kebangsaan sekali pun untuk mendidiknya, anak kita akan ‘bodoh’ juga.

Paradigma ini penting supaya, jika anak kita dapat keputusan 11A, kita tetap merendah diri kerana kita sedar kebijakan anak kita adalah kurniaan dari Allah. Allah hendak tengok adakah kita bersyukur atau tidak.

Sebaliknya, jika anak kita dapat 11E, kita tetap boleh bertenang, tidak terlalu kemurungan.

Boleh jadi kita sudah mendidik anak dengan baik, cuma memang Allah hendak uji kita dengan dikurniakan anak yang ‘bodoh’.

Boleh jadi, ibubapa yang anaknya dapat 11E itu lebih baik cara didiknya disisi Allah berbanding ibubapa yang anaknya dapat 11A.

Apapun, segalanya adalah ujian Allah.

Jika anak dapat 11A, itulah adalah ujian kesyukuran.

Jika anak dapat 11E, itu adalah ujian kesabaran buat ibubapa.

Pendidik yang berjaya adalah pendidik yang berjaya mengatasi ujian syukur dan sabar itu.

 

TIPS 2: “USAHA ORIENTED” VS “HASIL ORIENTED”

(Tips ke 2 ini saya pernah kongsi pada tahun 2017 yang lalu. Saya cuma kemaskini semula)

‘Moto’ saya dalam mendidik anak (dan murid) adalah;

 “yang penting kita usaha, hasilnya adalah urusan Allah”.

Lebih kurang begitulah.

Orang yang “hasil oriented”, mengutamakan bilangan A dalam peperiksaan. Saya lebih suka pada “usaha oriented”.

Maknanya, yang diutamakan dalam pendidikan bukan berapa A yang anak kita dapat, tetapi bagaimana kesungguhan kita untuk mendidik, dan kesungguhan anak (murid) untuk belajar.

Jadi, ‘reward system’ juga berbeza. Bagi orang yang “hasil oriented”, dia akan berkata kepada anaknya,

“kalau kau dapat 11A, bapak akan hadiahkan sekian sekian…”.

Saya tidak pernah meletakkan sebarang target begitu.

Dari perspektif “usaha oriented”, saya berkata,

“Kalau kau buat kerja sekolah elok-elok, ikut nasihat cikgu, kerap berdoa, peruntukkan masa sekian minit setiap hari utk ulangkaji pelajaran, baca buku-buku berfaedah, berdoa setiap kali lepas solat, tumpukan perhatian dalam kelas, kurang main game, dan lain-lain, bapak akan hadiahkan sekian sekian”.

Bagi saya, bila si anak sudah selesai menjawab peperiksaan dengan sebaik mungkin, maka itulah kejayaan bagi dia. Saya ‘celebrate’ hari kejayaan itu pada hari tamat peperiksaan, bukannya semasa hari keluar keputusan peperiksaan.

Saya lebih selesa dengan “usaha oriented” ini kerana bagi saya ini lebih dekat dengan falsafah dakwah Islam yang saya fahami.

“Allah tak tengok hasil kita, tapi Allah tengok pada usaha kita”.

Walaupun anak saya dapat 11A dalam SPM, belum tentu usaha dan cara didik saya lebih baik dari ibubapa yang anaknya dapat 11E.

Ada lagi tips ingin dikongsi. Tapi saya takut jadi panjang sangat. Saya berhenti di sini.

Terima kasih sudi membaca sampai habis.

Apapun, saya sendiri masih belajar.  Kalau salah tolong tunjukkan.

 

Penulis merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Labis dan Guru Besar SRITI Al-Fatih Segamat