Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 4 kluster baharu di Melaka Tengah

179
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 28 Jul: Empat kluster baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan keempat-keempat kluster ini dikesan di Daerah Melaka Tengah.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, tiga daripadanya melibatkan kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti.

Kluster pertama ialah Kluster Jalan PBR 38 yang merupakan kluster tempat kerja melibatkan pasar raya dengan 38 kes positif direkodkan setakat ini; kluster kedua ialah Kluster Jalan Food City melibatkan sebuah hotel dengan 27 kes positif setakat ini.

Kluster ketiga ialah Kluster Taman Bertam Indah melibatkan komuniti setempat dengan merekodkan 23 kes positif setakat ini, sementara kluster keempat ialah Kluster Tapak Bina Ayer Salak melibatkan tapak pembinaan dengan merekodkan 26 kes positif setakat ini.

Kes kematian

Menurut JKN Melaka, sebanyak tujuh kes kematian baharu direkodkan hari ini di mana dua kes direkodkan di Daerah Alor Gajah sementara lima kes lagi direkodkan di Daerah Melaka Tengah.

Secara keseluruhan mangsa terdiri daripada dua wanita dan lima lelaki yang berusia antara 30 dan 81 tahun.

Kes positif baharu

Menurut laporan itu juga, sebanyak 531 kes positif baharu dikesan di negeri ini hari ini di mana 524 kes adalah daripada kategori kes tempatan, satu kes daripada kategori kes import dan enam kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Kata jabatan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 285 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 53 kes di Daerah Jasin dan 193 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 327 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 4630 kes masih dirawat hari ini berbanding 4426 semalam dengan 98 kes adalah daripada kes ICU dan 18 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 531 kes hari ini ialah, 139 kes melibatkan kluster kilang; 194 kes kontak keluarga; enam kes melibatkan Institusi Penjara; 23 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang sementara 68 kes saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 12.5 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 5.9 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 17,405 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 16,117 kes semalam.

Selain itu, 143 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 207 kes semalam, sementara 12,373 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 11,526 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 175,113 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,061,476 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 7171 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 2880 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.