Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 4 kes kematian di Daerah Melaka Tengah

132
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 11 Okt: Sebanyak empat kes kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan keempat-empatnya dikesan di Daerah Melaka Tengah.

Demikian dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, daripada empat kes kematian tersebut, dua kes melibatkan mangsa lelaki berumur 57 dan 78 tahun manakala dua kes lagi melibatkan mangsa wanita berumur 55 dan 82 tahun.

Laporan kes positif baharu

Tambah JKN Melaka lagi, sebanyak 188 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan 178 daripadanya adalah daripada kategori kes tempatan, satu kes daripada kategori import A, tujuh kes daripada kes import B dan dua kes kategori banduan/OKT/PATI.

Menurut laporan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 109 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 25 kes di Daerah Jasin dan 54 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 267 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan sebanyak 3421 kes masih dirawat, berkurang berbanding 3504 kes semalam dengan 25 kes adalah daripada kes ICU dan 14 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kluster

Sebanyak tiga kluster diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Industri Lot Satu, Kluster Industri Pengkalan Balak 2 dan Kluster Industri Cheng 28.

Tiada kluster baharu direkodkan hari ini manakala 34 kluster sedia ada dilaporkan masih aktif.

Laporan seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan sebanyak 6709 kes baharu direkodkan hari ini susut berbanding 7373 kes semalam.

Sarawak menjadi negeri yang mencatatkan kes tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1037 kes, diikuti oleh Kelantan dengan 938 kes, Johor (777), Selangor (671), Sabah (532), Terengganu (480) dan Pulau Pinang (441).

Pahang pula merekodkan 426 kes, Perak (414), Kedah (357), Kuala Lumpur (220), Negeri Sembilan (163), Putrajaya (36), Perlis (29), sementara Labuan pula tidak merekodkan sebarang kes.