Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 4 kes kematian, 303 kes positif baharu

115
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 28 Sept: Sebanyak empat kes kematian dan 303 kes positif baharu Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini seperti yang dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, daripada empat kes kematian itu, dua kes direkodkan di Daerah Alor Gajah melibatkan seorang mangsa lelaki berumur 71 tahun dan seorang mangsa wanita berumur 78 tahun.

Sementara dua lagi kes kematian direkodkan di Daerah Melaka Tengah melibatkan seorang mangsa lelaki berumur 76 tahun dan seorang mangsa wanita berumur 73 tahun.

Tambah JKN Melaka lagi, daripada 303 kes positif baharu yang direkodkan hari ini, 297 daripadanya adalah daripada kategori kes tempatan, satu kes daripada kategori kes import A, tiga kes daripada kes import B dan dua kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 217 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 23 kes di Daerah Jasin dan 63 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 360 kes sembuh baharu direkodkan hari ini menjadikan sebanyak 5854 kes masih dirawat, berkurang berbanding 5919 kes semalam dengan 41 kes adalah daripada kes ICU dan 21 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kluster

Tiada kluster baharu direkodkan hari ini.

Laporan seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan sebanyak 11,332 kes baharu direkodkan hari ini berbanding 10,959 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes ialah sebanyak 2,220,526 kes.

Sarawak masih mencatatkan kes tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2358 kes, diikuti oleh Johor dengan 1319 kes, Selangor (1231), Kelantan (1088), Sabah (965) dan Pulau Pinang (895).

Sementara itu Kedah merekod 819 kes, Perak (678), Pahang (677), Terengganu (629), Kuala Lumpur (240), Negeri Sembilan (89), Perlis (19), Putrajaya (19) sementara Labuan merekodkan tiga kes.

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.