Home Berita PAS Perlis

Isu banjir: ADUN Guar Sanji temui Pengurus Besar MADA

55
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 29 Sept: Pertemuan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim dengan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kamaruddin Dahuli di Ibu Pejabat MADA Ampang Jajar baru-baru ini adalah bagi membincangkan isu banjir yang sering berlaku dalam DUN berkenaan.

Menurut Mohd. Ridzuan, masalah banjir yang sering berlaku merupakan isu yang perlu ditangani dengan segera memandangkan isu tersebut menjejaskan sebahagian besar penduduk di kawasan berkenaan, khasnya para petani.

“Memandangkan fasa peralihan monsun telah tiba, rata-rata penduduk khasnya para petani mulai bimbang akan kemungkinan berlakunya kejadian banjir.

“Alhamdulillah, daripada kertas cadangan yang telah dikemukakan, pihak MADA menyatakan persetujuan untuk mengambil beberapa tindakan bagi mengatasi masalah ini.

“Antaranya meninggikan lagi tebing sungai yang terlibat serta membina ‘flapgate’ ke Sungai Jalan Perlis,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Jelasnya lagi, turut dibangkitkan dalam pertemuan berkenaan adalah isu penyelenggaraan infrastruktur pertanian khususnya di kawasan pengairan MADA yang perlu dilaksanakan kerana turut menjadi punca kepada berlakunya banjir.