Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 380 kes baharu, 165 daripadanya kategori kes banduan-OKT-PATI

114
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 27 Jun: Sebanyak 380 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan 165 daripadanya adalah daripada kategori kes banduan/OKT/PATI.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, daripada 380 kes positif baharu itu juga, 210 kes adalah daripada kategori tempatan dan lima kes lagi adalah daripada kategori kes import.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 269 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 20 kes di Daerah Jasin dan 91 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 133 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 2239 kes masih dirawat berbanding 1994 semalam dengan 87 kes adalah daripada kes ICU dan 18 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kes kematian

JKNM turut melaporkan dua kematian baharu direkodkan hari ini dengan kedua-dua kes melibatkan warga emas lelaki yang berasal dari Daerah Melaka Tengah.

Mangsa kes pertama berumur 81 tahun dari Mukim Bukit Baru yang mula disahkan positif pada 6 Jun sementara mangsa kes kedua pula berumur 67 tahun dari Mukim Bandar Melaka yang disahkan positif pada 18 Jun.

Laporan kluster

JKNM turut melaporkan tiada kluster baharu direkodkan hari ini sementara masih terdapat 37 kluster yang masih aktif di Negeri Melaka pada ketika ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 5586 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 5803 kes semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2212 kes hari ini, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 628 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 60 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 81 kes semalam sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 734,048 kes.