Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 289 kes positif dan 5 kematian

57
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 18 Jul: Sebanyak 289 kes positif dan lima kematian baharu direkodkan di negeri ini hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM daripada 289 kes itu, 282 kes adalah daripada kategori kes tempatan, enam kes daripada kategori kes import, sementara satu kes lagi adalah kes banduan/OKT/PATI.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 154 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 52 kes di Daerah Jasin dan 83 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 308 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 4337 kes masih dirawat berbanding 4356 semalam dengan 97 kes adalah daripada kes ICU dan 30 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

JKNM turut menyenaraikan lima punca utama jangkitan bagi kes hari ini iaitu 58 kes melibatkan kluster kilang; 130 kes kontak keluarga; satu kes Institusi Penjara; 23 kes kontak tempat kerja bukan kilang, sementara 31kes lagi daripada saringan bergejala dalam kalangan org ramai.

Laporan kematian

JKNM turut melaporkan lima kes kematian baharu direkodkan hari ini di mana tiga kes dikesan di Daerah Melaka Tengah dan masing-masing satu kes di Daerah Alor Gajah dan Jasin melibatkan mangsa berumur antara 37 dan 83 tahun.

Laporan kluster

JKNM turut melaporkan satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Industri Jalan Usaha 12 yang merupakan kluster tempat kerja yang melibatkan 22 kes positif.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 9.6 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 4.4 juta telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 10,710 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 12,528 kes semalam.

Selain itu, 153 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 138 kes semalam, sementara 5778 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 6629 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 124,593 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 916,561 kes.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 4828 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 945 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.