Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 2 kluster tamat, tiada kluster baharu

164
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 5 Okt: Sebanyak dua kluster diisytiharkan tamat dan tiada kluster baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini seperti dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, kluster yang dilaporkan tamat hari ini ialah Kluster Tembok Kemus 2 yang merupakan kluster institusi penjara dan telah mengumpul 105 kes positif.

Sementara satu lagi ialah Kluster Industri Tangga Batu yang merupakan kluster tempat kerja dan telah mengumpul 773 kes positif.

Kes positif baharu

Tambah JKN Melaka lagi, sebanyak 246 kes positif baharu direkodkan hari ini dengan 244 daripadanya adalah daripada kategori kes tempatan dan masing-masing satu kes daripada kes import A dan B.

Menurut laporan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 209 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 19 kes di Daerah Jasin dan 18 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 586 kes sembuh baharu direkodkan hari ini menjadikan sebanyak 4489 kes masih dirawat, berkurang berbanding 4831 kes semalam dengan 38 kes adalah daripada kes ICU dan 16 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kes kematian

Menurut JKN Melaka, dua kes kematian direkodkan hari ini dengan kedua-dua mangsa adalah wanita di mana satu kes dikesan di Daerah Melaka Tengah melibatkan mangsa berumur 54 tahun sementara satu kes lagi dikesan di Alor Gajah melibatkan mangsa berumur 50 tahun.

Laporan seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan sebanyak 8817 kes baharu direkodkan hari ini berbanding 8075 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes ialah sebanyak 2,294,457 kes.

Sarawak masih mencatatkan kes tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1361 kes, diikuti oleh Selangor dengan 1348 kes, Kelantan (1063),
Johor (886), Sabah (805), Pahang (696),
Pulau Pinang (595) dan Kedah (576).

Sementara Perak pula merekodkan 473 kes, Terengganu (356), Kuala Lumpur (217), Negeri Sembilan (122), Perlis (47), Putrajaya (23) manakala Labuan pula merekodkan hanya tiga kes.

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.