Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka : 106 kes baharu

374
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 21 Jan : 106 kes baharu Covid-19 direkodkan di negeri Melaka hari ini seperti yang dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Telegram rasminya sebentar tadi.

Menurut laporan itu, daripada 106 kes baharu itu, 92 daripadanya adalah kes tempatan, enam lagi adalah daripada kes Import B, sementara lapan kes lagi adalah banduan/ OKT/ PATI.

JKNM juga melaporkan, sebanyak 843 kes masih dirawat di Hospital Melaka dan PKRC hari ini termasuk tujuh kes ICU sementara lima kes lagi dibantu dengan alat penafasan.

Bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 14 mukim berada di zon hijau dan 17 mukim lagi berada di zon kuning.

Sementara daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, hanya satu zon hijau iaitu mukim Kandang; 17 mukim di dalam kuning; enam mukim di dalam zon jingga; dan lima mukim lagi di dalam zon merah iaitu mukim Bachang, Bandar Melaka, Batu Berendam, Bukit Katil dan Cheng.

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, enam adalah di dalam zon hijau; 12 adalah zon kuning; dua mukim dalam zon jingga dan satu mukim lagi dalam zon merah iaitu mukim Serkam.

Tambah laporan itu lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka hari ini ialah Kluster Pantai Peringgit, Kluster Dialisis Malim, Kluster Teknologi Kesidang, Kluster Rambai, Kluster Telok Mas, Kluster Anak Air, Kluster Tembok Kemus, Kluster Bukit Sebukur dan Kluster Jalan Usaha sementara kluster negeri lain yang melibatkan Melaka ialah Kluster Jalan Harapan dan Kluster Tanjung Megah.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 3170 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini di mana Kuala Lumpur pula mencatat kes tertinggi antara negeri dengan merekod 576 kes dan diikuti oleh Selangor yang mencatatkan 545 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.