Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka : 1 lagi kematian baharu!

323
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 24 Jan : Satu lagi kes kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini menjadikan jumlah kematian keseluruhan akibat wabak ini di negeri ini telah meningkat kepada lapan orang hanya sehari selepas mencatatkan kematian ketujuh semalam.

Demikian dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Telegram rasminya sebentar tadi.

Tambah laporan itu lagi, sebanyak 152 kes baharu Covid-19 direkodkan di negeri Melaka hari ini dengan 144 daripadanya adalah kes tempatan, lima adalah daripada kes Import B sementara tiga lagi adalah daripada kes banduan/OKT/PATI.

JKNM juga melaporkan, sebanyak 1232 kes masih dirawat di Hospital Melaka dan PKRC hari ini termasuk tujuh kes ICU sementara empat kes lagi dibantu dengan alat penafasan.

Bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 15 mukim berada di zon hijau dan 16 mukim lagi berada di zon kuning.

Sementara daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, tiada zon hijau; 17 mukim di dalam kuning; lima mukim di dalam zon jingga; dan lima mukim lagi di dalam zon merah iaitu mukim Bachang, Bandar Melaka, Batu Berendam, Bukit Baru dan Bukit Katil.

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, lima adalah di dalam zon hijau; 14 adalah zon kuning; satu mukim dalam zon jingga dan satu mukim lagi dalam zon merah iaitu mukim Serkam.

Tambah JKNM lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Serkam Tengah, Kluster Pantai Peringgit, Kluster Dialisis Malim, Kluster Teknologi Kesidang, Kluster Rambai, Kluster Telok Mas, Kluster Anak Air, Kluster Tembok Kemus, Kluster Bukit Sebukor, Kluster Jalan Usaha, Kluster Tapak Bina Bali Residence dan Kluster Tembok Sg Udang, sementara kluster negeri lain yang melibatkan Melaka pula ialah Kluster Jalan Harapan dan Kluster Tanjung Megah.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 3346 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini di mana Selangor mencatat kes tertinggi antara negeri dengan merekod 950 kes dan diikuti oleh Sabah yang mencatatkan 431 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.