Home Berita PAS Kedah

Contohi Kelantan mengekang lesen jualan arak dan judi

347
SHARE

OLEH: ROZAIDI TAIB

ALOR SETAR, 6 OKT: Kerajaan Negeri Kedah  diseru agar meniru pendekatan Negeri Kelantan yang mengekang penjualan arak secara terbuka  dan tidak mengeluarkan lesen premis judi bagi menghalang kerosakan yang ditimbulkan oleh kedua-dua cabang maksiat larangan Allah tersebut.

Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah, Sheikh Mohamad Rodi Abdul Rahman menyatakan demikian dalam program Wacana Siasah bertajuk Gagasan Kedah Sejahtera : Sifar Industri Judi & Arak yang disiarkan melalui platform Facebook Live Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah.

Abu al-Layth al-Samarqandi menterjemahkan hadis mencegah kemungkaran dengan tangan adalah kuasa, kuasa adalah kerajaan, kuasa adalah undang-undang, jadi nak mencegah kemungkaran gunalah akta-akta dan undang-undang yang ada.

“Perkasakan undang-undang untuk lakukan penguatkuasaan, kerajaan mesti bertindak menutup ruang dan peluang agar kemungkaran dapat disifarkan,” tegurnya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah turut menegaskan akan ancaman Allah terhadap golongan yang dilaknat terkait dengan industri arak dan perbuatan adu nasib perjudian.

Ujarnya amat penting bagi mereka yang bertanggungjawab adalah terdiri daripada kalangan pegawai yang bersih dari unsur rasuah, agar tidak berlaku kegagalan untuk pelaksanaan, ketetapan dan perancangan kerajaan dengan lebih berkesan.

Namun katanya hak golongan bukan Islam untuk membeli arak perlu diberi oleh Kerajaan tetapi perlu meneliti keperluan sebenar agar ianya tidak disalahguna.

“Kena tengok tempat juga sebelum kebenaran penjualan arak diberi, tetapi kalau dibuktikan peniaga menjual arak kepada orang Islam maka secara automatik lesen yang diberi ditarik balik serta merta, ini sahaja cara nak ajar.

“InsyaAllah, kita akan gunalah kesempatan atas amanah yang telah diberi oleh Allah untuk melaksanakan pencegahan ke atas kedua-dua unsur perosak masyarakat ini selaras dengan slogan Kedah Sejahtera, nikmat untuk semua,” katanya.

Program mingguan terbitan Jabatan Penerangan PAS Kedah ini menampilkan Muhammad Aminur Shafiq sebagai moderator tetap turut disiarkan serentak di Facebook TVPAS Kedah dan platform radio online, Hijau FM.