Home Artikel PAS Melaka

Cerpen : “Srikandi Cintaku” (Buat Wirawan Dan Wirawati Menentang Covid-19)

631
SHARE

Nukilan : Ibnu Janie

TELEFON bimbit Dr Nashwa berbunyi. Dia baru sahaja selesai solat Zohor. Dia mengambil telefon bimbitnya yang diletakkan di dalam beg tangannya.

Dr Nashwa tersenyum meleret. Asyraf rupanya yang menelefonnya. Dia mengambil panggilan itu.

“Assalamulaikum sayang.” suara ceria Asyraf memberi salam kepadanya.

“Waalaikum salam Asy. Awak dekat mana?”

“Dekat office la. Dah makan?”

“Belum lagi. Saya baru lepas solat Asy. Lepas ni baru nak makan. Awak tahu tak Asy, virus Corona dari Wuhan tu sekarang dah ada dekat Malaysia. Seorang dah sah positif dekat Selangor.”

“Iya ke? Bahaya ke?”

“Sangat bahaya. Boleh bawa maut. Mudah berjangkit.”

“Alah, Asy tak kisah. Tunang Asy kan doktor. Apa guna ada tunang doktor. Hehehe.” Jawab Asyraf selamba.

“Jangan buat fasal. Doktor dan jururawat pun ramai yang mati terkena virus ni tau. Risiko tinggi untuk orang-orang tua dan mereka yang ada penyakit. Saya pun bimbang. Saya kan ada sakit asma.”

“Awak hati-hati. Pastikan sentiasa pakai pelindung diri.”

“Iye, saya tahu. Kami di hospital memang ada SOP kami. Jangan risau. Hehehe…”

“Tapi yang penting majlis perkahwinan kita lepas raya ni tak terganggu.”

“Insya-Allah… Kalau panjang umur kita akan diijabkabul jugak. Serah pada Allah swt ye sayang.”

Itulah Dr Nashwa, tunang Asyraf. Dan Asyraf pula sudah tentulah tunang Dr Nashwa! Asyraf memang mengkagumi Nashwa sejak dari mereka di alam persekolahan lagi. Bukan semata-mata kerana kecantikannya, lebih dari itu kegigihan dan ketabahan Nashwa mengharungi hidupnya itu yang menambat hati Asyraf.

Dr Nashwa lahir dari keluarga susah. Ayah dan ibunya telah lama meninggal dunia. Dia anak yatim piatu. Dia dijaga oleh neneknya selepas kematian kedua-dua orang tuanya itu.

Tidak habis di situ, Allah swt mengujinya lagi dengan nenek yang dikasihi dan menjadi tempatnya bergantung hidup pergi meninggalkannya buat selama-lamanya semasa dia di universiti. Dia kemudiannya dijaga oleh ibu saudaranya sehingga dia akhirnya berjaya menamatkan pengajian.

Ayahnya dahulu meninggal dunia kerana sakit jantung. Ibunya pula meninggal kerana kanser. Itu yang menguatkan azam Dr Nashwa untuk menjadi doktor sejak dia di bangku sekolah lagi.

Itulah Dr Nashwa. Berbeza dengan Asyraf yang lahir dari keluarga usahawan yang kaya dan berjaya. Bagi Asyraf, Nashwa umpama srikandi bangsa. Jauh di sudut hatinya berkata, jika dia di tempat Nashwa, dia pun tidak tahu adakah dia mampu untuk melaluinya? Adakah dia sekuat itu untuk melaluinya?

********************

MALAM itu Asyraf menghubungi Dr Nashwa. Sejak Dr Nashwa menjalani housemanship di Hospital Melaka ini memang mereka sudah jarang berjumpa. Housemanship ini perlu dilalui oleh semua doktor perubatan yang telah menamatkan pengajian. Mereka akan ditempatkan di hospital-hospital kerajaan untuk program ini sebelum mereka diiktiraf sebagai doktor perubatan yang sah. Biasanya selama dua tahun.

Selama dalam program housemanship ini Dr Nashwa masuk kerja seawal tujuh pagi dan biasanya pulang sehingga jam 9 malam. Sebab itu dia mengambil rumah sewa tidak jauh dari hospital.

Namun, memang jika bukan kerana kesibukannya sebagai houseman pun dia memang memilih untuk tidak berjumpa dengan Asyraf secara kerap. Dr Nashwa seorang yang menjaga batas-batas pergaulannya.

Kendatipun begitu Asyraf sangat faham dengan pendirian Dr Nashwa. Kerana itu dia lebih terbiasa berhubung dengan Dr Nashwa melalui telefon berbanding dengan bertemu secara berdepan. Dan dia okey sahaja dengan cara Dr Nashwa ini.

“Awak tahu Asy, hari ni WHO dah isytihar Covid-19 ni pandemik.”

“Tak tahu… Hehehe” Asyraf mengusik Dr Nashwa.

“Eeiiii… Ngada-ngada!”

“Hehehe… Pandemik tu macam mana? Apa beza dengan epidemik? Apa bendanya pandemik tu?”

“Epidemik tu bila sesuatu penyakit tu meningkat dalam kadar yang tinggi di satu-satu tempat dalam tempoh tertentu. Tapi bila ia dah merebak ke semua tempat dan ke seluruh dunia ia dipanggil pandemik.”

“Oh… Menakutkan…”

“Memang menakutkan Asy. Kami sangat sibuk di hospital. Membuat berbagai-bagai persiapan. Eh, Asy… Sebenarnya saya tak boleh cakap lama ni. Saya minta maaf ye. Saya letih sangat. Sibuk sangat hari ni di hospital tadi. Badan pun rasa macam nak demam.”

“Eh, tak apa. Asy faham. Awak pergilah berehat ye.”

“Awak tak marah ye Asy? Betul ni?”

“Betul… Tak marah… Asy faham”

“Terima kasih kerana memahami—-Asy…”

“Iya?”

“Sebelum saya masuk tidur boleh tak awak nyanyikan saya satu lagu? Hehehe”

“Eh, boleh je. Lagu apa?”

“Apa-apa je.”

“Ok… Ehem… Asy nyanyi ye… Bagaikan permata di celahan kaca, kedipnya sukar untuk dibezakan. Kepada-Mu Tuhan ku pasrah harapan, moga tak tersalah pilihan. Nur Kasih Mu mendamai di kalbu, jernih setulus tadahan doaku. Rahmati daku dan permintaanku, untuk bertemu di dalam restu. Kurniakan daku serikandi, penyejuk di mata penawar di hati. Di dunia dialah penyeri, di syurga menanti… dia bidadari–—–”

Cop… Cop… Ok… Siapa bidadari awak tu?”

“Tanya pulak lagi…”

“Siapa?”

“Mira Filzah la. Hehehe…”.

“Malas la… Kay…! Bye...! Tutup handphone!”

“Tak… Tak… Tak… Tak ada insan lain yang boleh menggantikan Dr Nashwa dalam hidup Asy.”

“Saja lah tu… nak beli jiwa!”

“Kalau Asy tak jumpa awak mungkin Asy akan tackle Mira Filzah. Tapi sebab Asy jumpa awak Asy tak pandang dah Mira Filzah. Hehehe.”

“Awak memang pandai ambil hati saya ye?”

“Bukan hati je, jantung, paru-paru, buah pinggang, semua Asy ambil. Hehehe”

“Mati la saya macam tu… Hehehe”

“Okey Nashwa… Awak masuk tidur dulu ye. Asy tau awak letih.”

“Okey, thanks… Assalamualaikum.. selamat malam Asy.”

“Waalaikum salam. Selamat malam.”

Asyraf faham jadual kerja Dr Nashwa yang ketat sebagai houseman. Kadang-kadang cuti mingguan pun tiada. Tapi Dr Nashwa sangat teruja kerana telah menamatkan pengajian dan kini mula bertugas di hospital. Dr Nashwa gembira kerana sudah ada pendapatan sendiri. Dia tidak mahu menyusahkan orang lain.

Asyraf ingat lagi sebaik sahaja Dr Nashwa menjalani housemanship di Hospital Melaka terus dia mengambil lesen memandu. Dia mahu membeli kereta supaya mudah dia ke tempat kerja. Setahun selepas menjalani housemanship akhirnya dia berjaya membeli sebuah kereta.

Asyraf juga tidak akan lupa saat Dr Nashwa menitiskan air mata ketika dia menerima kereta yang dipesannya. Kata Nashwa, dia macam tak percaya yang dia boleh membeli sebuah kereta kerana sebelum ini lama dia hidup dalam kemiskinan. Sebelum ini untuk mengambil lesen memandu pun dia tak mampu.

Namun Dr Nashwa tidak membeli kereta yang mahal. Dia hanya membeli kereta Perodua Axia. Dia bukan seorang yang boros atau suka menunjuk-nunjuk. Kerana itu Dr Nashwa terlalu sempurna di mata Asyraf! Sangat sempurna. Dia bersyukur kerana tuhan memilih dirinya untuk memiliki Nashwa!

********************

Gambar hiasan | Kredit foto : Google

“ASY, saya nak bagitahu awak satu perkara. Awak jangan terkejut ye. Dan awak janji dengan saya awak jangan susah hati.” Kata Dr Nashwa kepada Asyraf di suatu malam ketika dia menghubungi Asyraf.

“Lain macam je kata-kata awak ni Nashwa? Jangan buat Asy risau.”

“Macam ni. Awak bersabar ye. Saya… Saya… Saya disahkan positif Covid-19…”

“Ya Allah….” itu sahaja yang mampu keluar dari mulut Asyraf. Perkara yang paling dia takuti telah berlaku. Dia pun tidak tahu kenapa harus Dr Nashwa menjadi mangsa terbaru pandemik ini dalam berjuta lagi rakyat Malaysia ini!

“Awak… Awak bersabar ye…”

“Macam mana boleh jadi macam ni? Awak tak pakai PPE ke?”

“Bukan… Saya bukan dapat jangkitan ini semasa uruskan pesakit Covid-19. Saya dapat jangkitan masa posting di wad bersalin. Ada pesakit yang sembunyikan maklumat diri dia. Dia kontak rapat dengan seseorang yang balik melancong dari Itali. Tapi dia tak bagitahu situasi sebenar dia….”

“Kenapa jadi macam ni…”

“Apa boleh buat awak. Dah saya nak kena jangkitan ni… Saya akan ditahan di wad. Kalau ada apa-apa berlaku, atau kita terputus hubungan awak boleh hubungi kawan saya Dr Hui Min. Nanti dia boleh jumpa saya.”

“Baiklah…. Nashwa… Asy berdoa semoga awak sembuh. Dan kita akan nikah selepas raya ni.”

“Insya-Allah… Serah pada Allah swt.”

********************

DR NASHWA telah ditempatkan di wad khas untuk pesakit Covid-19. Dengan bantuan Dr Hui Min, kawan baik Dr Nashwa, Asyraf cuba untuk bertemu dengan Dr Nashwa di wad. Tapi bukan secara berdepan. Dengan bantuan dari Dr Hui Min, Asyraf di bawa ke satu kawasan berhampiran wad tempat Dr Nashwa di tempatkan. Dia mengambil telefon bimbitnya dan terus menghubungi telefon bimbit Dr Nashwa.

“Assalamualaikum. Awak… Saya ada dekat depan ni. Dekat pagar.”

“Sekejap ye.” Jawab Dr Nashwa.

Dari kejauhan dia melihat Dr Nashwa menyingkap langsir di tingkap bilik wadnya. Dia melambai-lambai ke arah Dr Nashwa. Dr Nashwa melambai semula sambil tersenyum memandangnya. Mereka terdiam seketika.

“Sayang…” Dr Nashwa bersuara.

“Sayang… Asy rindu awak.”

“Saya pun…” kata Dr Nashwa. Nadanya mula sebak.

Asyraf sendiri tidak dapat menahan rasa sebak. Perasaannya bercampur antara rasa sedih terhadap apa yang berlaku pada Dr Nashwa dan rasa terharunya kerana dapat menatap wajah tunangnya itu walau pun dari jarak jauh, hanya mendengar suara melalui telefon bimbit dan terbatas didindingi cermin tingkap wad. Dia memang sangat rindukan Nashwa.

“Besok kita dah nak puasa. Asy nak ucap selamat berpuasa pada awak.”

“Selamat berpuasa Asy. Alhamdulillah kita masih dipanjangkan umur untuk bertemu Ramadan. Nanti bila awak tahajud jangan lupa doakan saya ye Asy.”

“Asy pasti doakan awak. Asy harap Allah swt sembuhkan orang yang Asy sayang ini segera.”

“Saya harap saya akan sihat semula. Saya nak bertugas semula. Kesian kawan-kawan saya. Mereka tak cukup kakitangan untuk berdepan pesakit yang ramai. Kesian mereka.”

“Awak… Utamakan kesihatan awak dulu. Jangan fikirkan fasal orang lain. Nyawa awak lebih utama.”

“Memang dah kerja saya untuk selamatkan orang ramai awak.”

“Saya harap awak akan sembuh. Awak akan ada masa majlis pernikahan kita nanti.” kata Asyraf.

“Asy… Serahkan kepada Allah swt. Kalau ada jodoh kita, kita akan tetap disatukan nanti.” Jawab Nashwa. Tangannya terasa menggigil memegang telefon bimbitnya itu.

Mereka terdiam lagi. Bungkam… Suram…. Kelam…

“Awak jangan menangis ye.” Kata Dr Nashwa. Dia dapat melihat dengan jelas air mata yang bergenang di bola mata Asraf walau dari kejauhan. Dia tahu Asyraf sedih.

“Asy…” Dr Nashwa bersuara lagi.

“Iya?”

“Janji dekat saya… Kalau umur saya tak panjang awak jangan sedih ye”

********************

Gambar hiasan | Kredit foto : Google

MASA bagaikan bergulir pantas, kini sudah hampir dua minggu Dr Nashwa dirawat di wad kerana Covid-19. Keadaanya masih belum berkurangan.

Malam itu sekitar jam 3 pagi Dr Nashwa menghantar satu pesanan whatsapp ke telefon bimbit Asyraf.

“Asy sayang, lelaki yang saya amat sayangi dan sanjungi. Mungkin ini mesej saya yang terakhir. Asy, saya minta maaf kerana hanya mampu menghantar mesej ni sahaja. Rasa tak berdaya untuk bercakap. Saya rasa mungkin saya akan dimasukkan ke ICU. Kalau ditakdirkan ini mesej terakhir dari saya untuk awak, sentiasa ingat saya dalam doa awak Asy. Saya bersyukur dalam usia sesingkat ini saya dipertemukan dengan awak. Terima kasih kerana selama ini hadir dalam hidup saya yang sunyi ini. Saya berdoa semoga Allah swt menjaga awak sentiasa. Kalau apa-apa terjadi pada saya, ingat saya sampai bila-bila. Jangan putus berdoa untuk saya. Sehingga kita bertemu di syurga nanti.”

Sebaik sahaja membaca whatsapp itu ketika bangun dari tidur untuk bersahur Asyraf cuba menghubungi Dr Nashwa. Ternyata telefon bimbitnya telah dimatikan.

Pagi hari yang sama Asyraf dihubungi Dr Hui Min rakan baik Dr Nashwa memaklumkan yang keadaan Dr Nashwa yang kini tambah merosot. Dia telah dimasukkkan ke ICU.

Takut… Asyraf sangat takut. Tidak terbayang olehnya jika sesuatu yang buruk berlaku kepada Dr Nashwa. Dia tidak tahu apa akan berlaku pada hidupnya tanpa Dr Nashwa.

********************

Gambar hiasan | Kredit foto : Google

EMPAT hari Dr Nashwa dimasukkan ke wad ICU. Keadaan kesihatannya semakin merosot dari hari ke hari.

Dan takdir Illahi tiada siapa yang mampu melawan atau menghalang. Malam itu, malam Jumaat kedua bulan Ramadan yang hening, Dr Nashwa telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di wad ICU tempat dia dirawat. Dr Hui Min menelefon Asyraf memaklumkan khabar duka itu.

Gelap gelita dunia dirasakan bila Asyraf mendengar berita ini. Bagaikan satu dentuman guruh yang kuat menggegar seluruh alam. Segala cita, cinta dan angannya terbang dan telontar jauh ke langit ke tujuh.

Pagi itu, dari jauh Asyraf melihat jenazah Dr Nashwa diturunkan dari van jenazah hospital. Dia hanya boleh memerhatikan dari jauh. Sepanjang pengebumian itu Asyraf tidak putus-putus membacakan doa-doa dibaluti ayat-ayat suci Al Quran hadiah buat kekasihnya Dr Nashwa yang kini terbujur kaku.

Selesai upacara pengebumian, Dr Hui Min yang turut mengiringi jenazah Dr Nashwa menghampiri Asyraf.

“Takziah Asy. Saya faham apa awak rasa. Saya tahu berat untuk awak tanggung. Tapi percayalah, tuhan lagi sayangkan dia. Dia orang baik.”

“Terima kasih Hui Min. Memang berat untuk saya lalui. Tapi saya harus reda.”

“Bersabar ye. Saya pun sangat sedih. Dia kawan baik saya. Tapi ingat, pepatah Inggeris ada berkata ‘only the good die young‘. Bersabar ye.”

Asyraf tersenyum terharu dalam kesedihan mendengar penghargaan Dr Hui Min untuk Nashwa.

“Hei… Asy… Saya percaya dia sekarang sudah jadi bidadari. Dia sedang tunggu awak di syurga.” tambah Dr Hui Min yang masih cuba mengukir senyuman dalam tangisannya.

Asyraf hanya mampu mengangguk-angguk sahaja membalas kata-kata Dr Hui Min tadi. Dia sangat sebak. Air matanya mengalir deras. Sederas gerimis yang mulai membasah bumi seusai jenazah Dr Nashwa selamat dikebumikan bagaikan turut sama berduka dan mengucapkan selamat tinggal.

Covid-19 ini bukan sahaja meragut nyawa Dr Nashwa, malah meragut segala impiannya untuk hidup bersama gadis yang amat disayangi dan disanjungi itu. Dan dengan kejamnya meruntuhkan segala harapannya yang tinggi menggunung untuk membina mahligai bahagianya bersama Dr Nashwa.

Dan Dr Nashwa telah pergi membawa bersama-samanya segala harapannya untuk hidup bersama. Tapi dia tahu Nashwa telah pergi sebagai seorang srikandi barisan hadapan. Dia terkorban dan berkorban untuk masyarakat, untuk negara. Ia bukan calang-calang pengorbanan.

Cuma Asyraf sedikit sedih kerana Dr Nashwa yang selama ini hidup dalam kesusahan dan baru sahaja dapat merasai sebuah kehidupan yang selesa sebagai seorang doktor kini dipanggil Allah swt dalam usianya yang muda.

Dia telah bekerja keras untuk mengubah kehidupannya namun dia tidak dapat lama merasai hasilnya. Tapi Asyraf yakin kesenangan di alam baqa, balasan untuk mereka yang bertaqwa tiada tolok bandingnya dengan kesenangan dunia ini.

“Nashwa, kau telah melalui jalan hidup yang sangat berliku. Demi nafas dan nyawaku di tangan Yang Satu, aku bersaksi, hari ini, Allah swt telah memuliakan diri mu dengan memanggilmu menghadap-Nya di hari Jumaat di bulan Ramadan yang mulia di usia mu yang masih muda agar kau tidak perlu lagi berdepan dengan godaan dunia yang menipu. Berehatlah dengan aman di sana di sisi tuhan yang Esa. Pergilah wahai gadis yang sempurna ke sisi tuhan yang Esa. Semoga kau dikurniakan syahid wahai srikandi cintaku…”

Kan ku usung oh jenazah cinta…
Semadikan nisan kasih suci…
Semangatmu tetap bersamaku selama pasti…
Ku semaikan pepohon kemboja…
Dan bunganya adalah hati ku…
Semadilah dalam kedamaian…
Kau abadi…
Srikandi cintaku…
(Srikandi Cintaku – Bloodshed)

“Ya Allah, kau rahmatilah semua wirawan dan wirawati menentang Covid-19. Amin”

Penulis cerpen adalah Editor Berita PAS Melaka, Ketua Unit Berita Dan WARM Lajnah Penerangan PAS Melaka

(Cerita dan watak di dalam cerpen ini adalah rekaan semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati)


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)