Home Berita PAS Melaka

Celik ekonomi : Cara mudah memahami apa itu dasar fiskal dalam belanjawan

27266
SHARE

Bahagian 1

Oleh : Ibnu Janie

SETIAP tahun kerajaan akan membentangkan belanjawan. Setiap kali Menteri Kewangan membentangkan belanjawan pasti kita akan mendengar perkataan ‘fiskal’ disebut berulang kali. Apakah sebenarnya ‘fiskal’ itu?

Belanjawan sesebuah negara mengandungi perancangan kerajaan terhadap perbelanjaan yang akan dilakukan oleh kerajaan dan dari mana kerajaan akan mendapat sumber untuk membiayai perbelanjaan yang ingin dibuat itu.

Fiskal secara asasnya adalah perbincangan tentang dua alat utama dalam belanjawan iaitu yang pertama ialah cukai dan alat yang kedua ialah perbelanjaan kerajaan.

Apa itu dasar fiskal?

Jadi, apa dia dasar fiskal ini? Dalam bahasa mudahnya dasar fiskal ini merujuk kepada keputusan kerajaan untuk menaik atau menurunkan cukai dan menaik atau menurunkan perbelanjaan kerajaan, berdasarkan masalah ekonomi yang dihadapi oleh sesebuah negara.

Selain cukai dan perbelanjaan yang menjadi alat untuk dasar fiskal ini, ia juga mempunyai dua strategi yang biasa digunakan oleh kerajaan iaitu ‘strategi fiskal mengembang’ atau ‘strategi fiskal menguncup’ yang akan penulis terangkan selepas ini.

Untuk kita memahami bagaimana polisi fiskal ini dilaksanakan kita akan terus melihat kepada masalah ekonomi yang biasa dilalui oleh sesebuah negara. Di situ kita akan melihat bagaimana polisi fiskal ini diaplikasikan untuk mengatasi masalah ekonomi ini. Biasanya ekonomi akan berhadapan dengan dua masalah besar iaitu samada kemelesetan atau inflasi.

Dasar fiskal dalam menangani kemelesetan ekonomi

Masalah ekonomi yang pertama iaitu kemelesetan ini berlaku apabila terdapat penurunan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sesebuah negara dalam dua suku tahun berturut-turut. Maknanya nilai barang-barang yang dikeluarkan oleh kilang dan yang dijual oleh peniaga-peniaga semakin berkurang.

Ini disebabkan oleh kurangnya permintaan agregat (jumlah permintaan keseluruhan dalam negara). Rakyat pada masa ini kurang berbelanja kerana mereka tidak ada banyak duit.

Pada masa kemelesetan kadar pengangguran tinggi. Ramai orang tidak bekerja kerana tidak banyak peluang pekerjaan. Ini berpunca daripada syarikat-syarikat perniagaan yang tidak dapat menjana keuntungan dan banyak yang ditutup.

 

INFO KHIDMAT MASYARAKAT

 

Semasa berlakunya kemelesetan apakah langkah fiskal yang akan dilakukan oleh kerajaan? Dalam situasi kemelesetan kerajaan biasanya kerajaan akan menggunakan ‘strategi fiskal mengembang’ iaitu mengurangkan cukai dan meningkatkan perbelanjaan.

Strategi mengembang

Ia dipanggil strategi mengembang kerana strategi ini bermatlamat untuk mengembangkan ekonomi yang suram. Bila berlaku kemelesetan ekonomi kerajaan mempunyai peranan untuk menaikkan kembali pertumbuhan ekonomi.

Jika kita sebagai individu, apabila kita menghadapi masalah kewangan maka kita perlu berjimat cermat dan kurang berbelanja. Namun, berbeza dengan kerajaan. Apabila negara menghadapi situasi kemelesetan ekonomi maka kerajaan perlu berbelanja besar untuk merancakkan kembali ekonomi.

Kerajaan perlu mewujudkan banyak peluang pekerjaan di sektor kerajaan supaya rakyat dapat peluang pekerjaan dan ada gaji untuk rakyat berbelanja. Kerajaan juga perlu membuat banyak pembelian untuk meningkatkan permintaan agregat supaya perniagaan yang dijalankan oleh rakyat dapat menjana keuntungan melalui pembelian oleh kerajaan tadi.

Kerajaan juga akan menambah projek-projek pembangunan dan infrastruktur yang akan mewujudkan peluang perniagaan kepada kontraktor-kontraktor binaan. Apabila perniagaan berkembang, syarikat-syarikat ini akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat. Ekonomi akan tambah berkembang.

Hasil kurang, belanja lebih, jadi bagaimana?

Sungguh pun begitu, amat sukar pula untuk kerajaan mengutip cukai yang banyak, apatah lagi untuk meningkatkan kadar cukai bagi menampung peningkatan dalam perbelanjaannya tadi. Ini adalah kerana dalam saat kemelesetan ekonomi, rakyat sendiri tiada wang dan syarikat-syarikat banyak yang rugi.

Jadi, dalam ‘polisi fiskal mengembang’ ini, selain meningkatkan perbelanjaan, kerajaan juga akan mengurangkan cukai. Dengan mengurangkan cukai, rakyat akan dapat wang tambahan untuk berbelanja dan syarikat boleh menjana keuntungan di samping mereka juga akan mampu meningkatkan pelaburan. Ini akan merancakkan ekonomi.

Jadi, bagaimana hendak menampung peningkatan dalam perbelanjaan sekiranya kerajaan tidak boleh meningkatkan cukai? Maka pada masa ini kerajaan terpaksa berhutang untuk menampung ketidakcukupan tadi. Walau pun ia nampak seperti tidak baik namun ia terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan keadaan.

(Bersambung di bahagian kedua)

Penulis adalah Ketua Unit Berita dan WARM Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka

Rencana ini disiarkan dalam ruangan Ekonomi, Harakah cetak bilangan 2620 yang bertarikh 29 Januari 2021