Home Berita PAS Kelantan

Cakna Hawa untuk wanita bekerjaya

327
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY

KOTA BHARU, 19 Ogos: Kerajaan Negeri Kelantan menghargai golongan wanita yang berkerjaya melalui pemberian Bantuan Cakna Hawa khas untuk golongan pekerja wanita berpendapatan isi rumah RM3,000.00 ke bawah.

Bantuan ini dibuka bermula 16 hingga 22 Ogos 2021 sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas pengorbanan, jasa dan khidmat yang telah dicurahkan kepada masyarakat.

Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) Ilvira Mohd Dasuki berkata ujian COVID-19 menyebabkan wujudnya norma baharu yang memaksa rakyat untuk duduk di rumah bagi mengurangkan jangkitan virus sekaligus menyebabkan sebilangan besar rakyat kehilangan punca pendapatan.

“Kesan besar berlaku dalam institusi kekeluargaan memberi tekanan dan menyebabkan berlakunya masalah rumahtangga seperti isu keganasan rumahtangga dan kesihatan mental serta pelbagai cabaran yang memberi kesan negatif terutamanya kepada golongan wanita.

Oleh itu, Kerajaan Negeri memberikan bantuan RM100 secara sekali bayar (one off) kepada 100 wanita bekerja bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) ”, katanya ketika dihubungi.

Syarat permohonan ialah wanita kelahiran dan menetap di Kelantan berusia 18 hingga 60 tahun yang berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan.

Penerima juga mestilah mempunyai tiga orang anak atau lebih di bawah tanggungannya dan bukan berstatus armalah atau suri rumah.

Borang permohonan Bantuan Cakna Hawa 2021 boleh dimuat turun di pautan https://bit.ly/BorangCaknaHawa2021.

Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, sila hubungi Unit Pembangunan Wanita 01133103454 atau 0199813918.