Home Rencana PAS Kelantan

Salam takziah buat rakyat Kedah

94
SHARE

Tragedi banjir akibat kepala air di Kampung Setoi, Yan, Kedah petang 18 Ogos semalam turut mendukacitakan kami di Kelantan.
Bagaikan cubit paha kanan, sakitnya juga dirasai paha kiri.

Kami di Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) amat memahami trauma dan panik rentetan kejadian tanah runtuh di Gunung Jerai.

Kami bersyukur apabila dimaklumkan dua mangsa selamat dan terus mendoakan seorang lagi yang masih belum ditemui agar sejahtera dalam lindungan Allah SWT.

Pilu hati kami mendengar khabar tentang kehilangan rakyat Yan selepas sebuah rumah di calet Salak Denai roboh dan terdapat mangsa lain terperangkap di atas bumbung di kampung tersebut.

Kami berharap, Menteri Besar Kedah, YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi Md Nor tabah mengadapi ujian kejadian banjir berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan Gunung Jerai mengalir laju turun ke kaki gunung melibatkan Sungai Kunyit, Sungai Teroi, Sungai Puteri Mandi pada pukul 5.30 petang, semalam.

Saya dan seluruh warga UPKN mendoakan supaya banjir yang melibatkan kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai serta Kampung Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh, Kampung Setoi segera surut.

Kami juga mendoakan 60 orang yang dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan dan Sekolah Kebangsaan Teroi bersabar dan reda menginap di pusat pemindahan sementara.

Semoga sahabat di Kedah terus cekal menghadapi ujian ini dan yakinlah bahawa ada kebaikan besar di sebalik ujian tersebut.

Ikhlas daripada,
YB USTAZ AHMAD FATHAN MAHMOOD
Pengarah UPKN
10 Muharram 1443H
19 Ogos 2021