Home Berita PAS Kelantan

BSMM sumbang RM750 ribu bantu seribu keluarga terjejas banjir

54
SHARE

BACHOK, 30 Jan: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) menyumbang dana RM750 ribu bagi membantu 1,000 keluarga terjejas banjir di Bachok.

Menurut, Pengerusi BSMM Kelantan, Tuan Ghazali Tuan Long, sumbangan melalui dana kecemasan bencana Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) membabitkan mereka yang terkesan musibah banjir pada pertengahan Disember lalu.

Serahan sumbangan itu turut mendapat kerjasama Zurich Insurance, UNIQLO, Pejabat Kesihatan Daerah Bachok, Pejabat Kebajikan Masyarakat Jajahan Bachok dan Kolej Vokasional Bachok.

“Setiap keluarga terbabit menerima sumbangan wang tunai, barangan makanan dan kelengkapan asas. Selain itu, mereka turut menerima kit kesihatan dan kebersihan diri, tuala mandi serta barangan keperluan bayi dan kanak-kanak,” katanya.

Sumbangan disampaikan oleh Penasihat BSMM Kelantan, Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal di Kolej Vokasional Bachok pada Sabtu lalu.

Turut menyampaikan sumbangan ialah Timbalan Setiausaha Agung BSMM, Dato’ Danial Iskandar Abd Rahman dan Penolong Ketua Jajahan, Zulkarnean Isa.

Tambah Tuan Ghazali, Program Penyampaian Bantuan Bencana Banjir 2022 adalah satu usaha berterusan yang dijalankan oleh BSMM Kelantan untuk membantu mangsa banjir.

“BSMM Kelantan juga mewujudkan pasukan dapur bergerak bagi membantu membekalkan makanan kepada mangsa banjir yang berpindah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Pihak kami turut menggembleng tenaga bersama NGO Kelantan untuk menyalurkan bantuan seperti keperluan asas, makanan dan minuman kepada penduduk terjejas banjir dan tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh daerah yang dilanda banjir,” katanya.

Aktiviti lain turut disediakan seperti pemeriksaan kesihatan, program sokongan mental dan psikososial, kempen kebersihan diri dan permainan untuk kanak-kanak.