Home Artikel PAS Melaka

Boleh solat Jumaat sepanjang PKP di Melaka – JAIM

1062
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 14 Mei : Umat Islam di negeri Melaka dibenarkan untuk melaksanakan solat Jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Kapasiti jemaah yang dibenarkan untuk aktiviti pengimarahan adalah berdasarkan kebenaran Jabatan Mufti Negeri Melaka iaitu mengikut kapasiti bangunan masjid atau surau dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter.

Demikian dinyatakan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 12 Mei lepas.

Menurut kenyataan itu lagi, jemaah yang dibenarkan hadir ialah jemaah tempatan sahaja dan tidak merentasi kariah.

“Hanya ruangan bangunan masjid dan surau sahaja yang boleh digunakan oleh jemaah. Pemasangan khemah atau bangsal di halaman masjid atau surau adalah tidak dibenarkan,” kata kenyataan itu lagi.

Tambah JAIM lagi, pelaksanaan solat Jumaat di masjid dan surau Jumaat hendaklah dilaksanakan secara ringkas.

“Jemaah hendaklah bersurai setelah bacaan doa dan solat sunat ba’diyyah. Pentadbiran masjid dan surau Jumaat hendaklah sentiasa memberi peringatan kepada jemaah agar mematuhi SOP.

“Pentadbiran masjid atau surau Jumaat diminta membuat pengumuman sebelum dan selepas solat Jumaat berkaitan pematuhan SOP.

“Jemaah yang tidak terpilih untuk menunaikan solat Jumaat hendaklah solat Zuhur di rumah masing-masing,” tambah kenyataan itu.

Namun begitu kenyataan itu juga menyebut bahawa aktiviti pengimarahan masjid dan surau yang berada di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah TIDAK DIBENARKAN.

“Penduduk (kawasan PKPD) dikehendaki solat di rumah masing-masing. Masjid yang berada dalam kawasan jangkitan dan telah mendapat arahan penangguhan aktiviti oleh JAIM atau notis penutupan daripada KKM juga tidak dibenarkan menjalankan aktiviti pengimarahan,” katanya.

Kenyataan media ini yang ditandatangani oleh Pengarah JAIM, Dato’ Che Sukri Che Mat juga menjelaskan bahawa garis panduan ini berkuatkuasa bermula 12 Mei sehingga 7 Jun 2021 atau sehingga dimaklumkan kemudian.

“Sebarang pertanyaan berkaitan pelaksanaan garis panduan ini bolehlah dirujuk kepada Bahagian Pengurusan Masjid JAIM melalui nombor 06-2882639/2641,” kata kenyataan itu lagi.

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .