Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Kluster baharu Tanjung Rimau – daripada aktiviti keagamaan di masjid

393
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 13 Mei : Satu lagi kluster baharu di Melaka diumumkan pada hari ini iaitu Kluster Tanjung Rimau yang melibatkan jangkitan daripada aktiviti keagamaan di sebuah masjid di Daerah Alor Gajah.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu kes indeks kluster ini dikesan positif setelah menjalani saringan bergejala di hospital.

“Jangkitan di dalam kluster ini dikenalpasti berpunca daripada pergaulan semasa solat terawih dan solat fardu berjemaah, serta majlis tadarus Quran di masjid terlibat.

“Ahli jemaah solat dan tadarus tidak mematuhi penjarakan sosial semasa melakukan aktiviti tersebut.

“Seramai 51 kontak rapat telah disaring. Sehingga hari ini, 14 kes telah dikesan positif daripada kluster ini,” kata laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, selain kluster baharu ini, kluster lain yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Telok Mas, Tembok Sungai Udang, Taman Malim Jaya, Jalan Gapam, Pengkalan Batik, Jalan Pokok Mangga, Jalan Melaka Raya, Kota Syahbandar, Jalan Kesidang, Teknologi Ayer Keroh, Kampung Hilir Air Gajah, Air Budi, Seri Jati, Sebatu, Jalan Emas, Jalan Dahlia Lima, Kopitiam Machap Baru, Jalan PKAK Ayer Keroh, Jalan Limbungan Jaya dan Jalan Serkam.

Selain itu JKNM juga melaporkan terdapat pertambahan kes bagi kluster sedia ada iaitu 16 kes bagi Kluster Kampung Hilir Alor Gajah; lapan kes bagi Kluster Pengkalan Batik; satu kes bagi Kluster Kopitiam Machap Baru; dan satu kes bagi Kluster Sebatu.

Sementara itu sebanyak 67 kes positif baharu direkodkan di negeri Melaka hari ini di mana 64 daripadanya adalah daripada kes tempatan, manakala tiga kes lagi adalah kes import.

Jabatan itu juga melaporkan sebanyak 66 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 765 kes masih dirawat di Hospital Melaka dengan 42 kes adalah daripada kes ICU dan sembilan kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Mukim-mukim dalam Negeri Melaka yang berada di dalam zon merah hari ini ialah Mukim Machap dan Sungai Baru Ilir di Daerah Alor Gajah; Mukim Bandar Melaka dan Bukit Katil bagi Daerah Melaka Tengah; sementara bagi Daerah Jasin pula ialah Mukim Sebatu.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 4855 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1783 kes diikuti oleh Johor yang mencatatkan 467 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 458,077 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.

CPP Berita PAS Melaka dan Wartawan Rakyat Melaka (WARM) mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca, semoga kita semua dilindungi daripada virus Covid-19 ini.

Bersama-sama kita menjaga SOP agar pandemik ini dapat dihapuskan.

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .