Home Berita PAS Kelantan

Belia perlu dibekalkan ilmu, kemahiran – Exco Belia

94
SHARE

KOTA BHARU, 16 Ogos: Mendepani cabaran dunia pada hari ini, golongan belia perlu dibekalkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran hidup demi kepentingan masa depan.

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Pensijilan Kulinari 1.0 di Hotel H Elite, semalam.

Katanya, jika kita ketinggalan untuk belajar dan mendalami sesuatu bidang kita akan tertinggal dengan perkembangan dunia yang semakin pesat dan mencabar.

“Ilmu bidang masakan menjadi asas penting kepada kehidupan kerana setiap orang perlu kepada makanan. Sesuai dengan Kelantan yang terkenal dengan pelbagai jenis masakan dan produk makanan tradisional maka kesempatan ini sangat sesuai diambil peluang oleh golongan belia untuk memanfaatkannya,” katanya.

Tambahnya, bertepatan dengan masakan Kelantan yang cukup popular di serata negeri, program ini adalah peluang keemasan yang perlu direbut oleh golongan belia untuk mempromosikannya melalui media sosial.

Berhubung perkara yang sama katanya, Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa menyokong setiap program berbentuk keilmuan dan kemahiran dalam usaha melahirkan masyarakat yang maju dan sejahtera.

Pada program siri pertama, 22 peserta diangerahkan sijil kulinari, manakala peserta dalam bidang pastri dan bakeri, Mohd Zeqrullah Mohd Saupi, 25, terpilih sebagai pelajar terbaik.

Program kulinari anjuran Urus Setia Belia, Sukan dan NGO (U-BeS) di bawah Akademi Al-Aufi itu menetapkan syarat peserta mesti menjalani kursus selama tiga bulan bersama My Chef Solution Academy, secara percuma.

Mereka dilatih secara profesional oleh pakar bidang kulinari, Mazlan Hassim (Chef Lan) di Bandar Baharu Pasir Pekan.
Turut hadir, Pengarah U-BeS, Nasruddin Mahmud Muhaidin.